Tarikh PAU 2021 diputuskan pada 12 Januari
TAMPIN - Tarikh baharu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti pada 12 Januari ini, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata, fokus utama ahli parti UMNO ketika ini adalah membantu penduduk yang terlibat dengan banjir di beberapa negeri termasuk di Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang, sejak bulan lepas.
“Kita belum muktamadkan tarikh baharu (PAU) dan kita akan putuskan dalam mesyuarat MKT yang akan dipengerusikan presiden parti untuk tarikh baharu yang sesuai.
“Kita sudah maklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung penangguhan PAU yang sepatutnya diadakan pada 13 hingga 15 Januari ini. Keutamaan kita bantu mangsa banjir, mereka perlu dibantu dulu,” katanya ketika ditemui pemberita pada program gotong-royong perdana di Taman Pinggiran Sungai Kelamah di sini pada Selasa.
Pada 25 Disember lepas, Ahmad mengumumkan PAU 2021 yang dijadual berlangsung pada 13 hingga 15 Januari ini ditangguhkan susulan bencana banjir yang melanda beberapa negeri.
Sementara itu, beliau berharap UMNO Bahagian Kota Raja dan Klang di Selangor yang masih belum mengadakan mesyuarat perwakilan bahagian berikutan banjir, supaya mengadakannya pada hujung bulan ini setelah keadaan reda.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!