Sukarelawan UMNO digerak bantu mangsa banjir
TAMPIN - Sukarelawan UMNO digerakkan secara aktif sejak 21 Disember lalu bagi membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.
Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sehingga kini sebanyak 21 Parlimen telah dikunjunginya bersama sukarelawan dengan membawa pelbagai bentuk bantuan.
"Kami bukannya datang kosong, kami datang bawa pelbagai barangan bantuan dan sukarelawan kita juga membantu operasi pembersihan.
"Kita bukannya datang makan angin. Itu UMNOlah, orang lain saya tak tahu," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah di sini pada Selasa.
Menurutnya, adalah tidak adil untuk mengatakan kehadiran pemimpin politik ke kawasan mangsa banjir bermotifkan politik.
Dalam perkembangan lain katanya, UMNO belum memutuskan tarikh sesuai untuk mengadakan Perhimpunan Agong UMNO susulan penangguhannya disebabkan bencana banjir.
Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat pada Isnin untuk menyusun tarikh yang sesuai dan akan diputuskan dalam Mesyuarat Kerja Tertinggi UMNO tidak lama lagi.
"Ada dua bahagian iaitu Kota Raja dan Klang yang masih tidak dapat mengadakan mesyuarat perwakilan bahagian kerana dilanda musibah banjir.
"Saya harap mereka dapat mengadakan mesyuarat apabila keadaan banjir sudah pulih pada hujung bulan Januari ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!