Pengurusan kes rayuan Azmin batal saman pengundi Gombak 10 Januari
PUTRAJAYA - Rayuan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membatalkan saman yang dikemukakan 10 pengundi berdaftar kawasan Parlimen Gombak terhadapnya atas dakwaan menipu dan melanggar kewajiban fidusiari sebagai ahli Parlimen kawasan itu, ditetapkan untuk pengurusan kes pada Isnin ini.
Perkara ini disahkan peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili Mohamed Azmin dan peguam N Yohendra yang mewakili pengundi itu, semasa dihubungi Bernama selepas kes tersebut didengar secara dalam talian di hadapan tiga Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md Sam, Datuk S Nantha Balan dan Datuk Nordin Hassan.
Pengurusan kes yang ditetapkan pada 10 Januari adalah untuk menetapkan tarikh mendengar rayuan, menurut kedua-dua peguam itu.
Dalam prosiding pada Isnin, mahkamah membenarkan permohonan Mohamed Azmin untuk menyelaraskan rekod rayuan kerana kesilapan tidak disengajakan berhubung kebolehgunaan Arahan Ketua Hakim Negara.
Ini selepas peguam Daniel Choo Vern Kai yang mewakili pengundi tidak membantah permohonan itu. Peguam Nurul Najwa Zainuddin mewakili Mohamed Azmin.
Pada 10 Jun tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Azmin untuk membatalkan saman yang difailkan 10 pengundi itu terhadapnya.
Pada hari yang sama, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir juga menolak menolak permohonan pengundi berkenaan untuk memadamkan sebahagian pernyataan pembelaan Mohamed Azmin.
Pada 27 November 2020, 10 pengundi itu memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari 2020.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, pengundi tersebut antara lain memohon pengisytiharan bahawa Mohamed Azmin selaku Ahli Parlimen Gombak, telah melanggar kewajiban fidusiarinya, menipu serta memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka dalam pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan.
Mereka menuntut ganti rugi keterlaluan dan teladan, kos dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Pada 12 Mac tahun lepas, Mohamed Azmin memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu atas alasan saman tersebut tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah sebaliknya mengaibkan, bersifat remeh, menyusahkan atau membawa kepada suatu penyalahgunaan proses mahkamah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!