Letupan, tembakan Narathiwat: Seorang maut, 3 cedera

Photo by Waedao Harai
Photo by Waedao Harai
A
A
A

NARATHIWAT (Selatan Thailand) - Seorang penduduk tempatan maut dan tiga lagi cedera, termasuk dua anggota tentera dalam kejadian serangan bom dan tembakan yang berlaku secara berasingan dalam tempoh 48 jam lalu di Narathiwat.

Kes terbaharu berlaku pada jam 8.45 pagi tadi waktu tempatan di Kampung Sompoi, Daerah Bachok apabila sebutir bom buatan sendiri seberat lima kilogram diletupkan di tepi jalan raya Pattani-Narathiwat dan menyebabkan penduduk tempatan Cekmek Senik, 54, cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Bachok.

Penolong Ketua Polis Daerah Kapten Polis Panom Ampawan berkata bom itu dipercayai menyasarkan sebuah kereta dinaiki enam renjer yang sedang meronda di tempat kejadian.

“Suspek yang bersembunyi di kawasan itu telah mengaktifkan bom dengan menggunakan walkie-talkie namun ia tidak mencederakan renjer.

“Mangsa yang sedang bersarapan di sebuah kedai makan di tepi jalan terkena serpihan bom dan mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di hospital,” katanya kepada pemberita hari ini.

Kejadian itu menyusuli dua insiden semalam yang turut menyasarkan pasukan keselamatan.

Insiden pertama berlaku kira-kira 10.10 pagi waktu tempatan yang menyaksikan sebutir bom paip buatan sendiri dilontarkan ke pos kawalan polis di Yingo.

Jurucakap polis Yingo berkata, rakaman kamera litar tertutup menunjukkan dua suspek yang berpakaian wanita dan menutup muka menaiki motosikal melontarkan bom baip tersebut ke arah pos kawalan.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

"Ketika kejadian itu, dua pegawai polis yang berada di tempat kejadian berjaya menyelamatkan diri apabila melihat bom dilontarkan ke arah pos kawalan," katanya.

Dalam kejadian kedua, kira-kira 10.40 malam tadi (waktu tempatan), dua anggota tentera berusia 42 dan 23 tahun serta seorang orang awam berumur 24 tahun cedera apabila sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan dan meletupkan sebutir bom di markas tentera kawalan sempadan Thailand-Malaysia di Kampung Sipangan, Tak Bai.

Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mej. Jen. Polis Dussadee Chusangkit yang membuat tinjauan di tempat kejadian hari ini berkata bangunan markas tentera itu mengalami kerosakan teruk selain empat buah kenderaan juga musnah akibat terkena peluru grenad M79.

“Polis juga menemui serpihan bom buatan sendiri yang diisi di dalam tong gas memasak selain lebih 50 kelongsong peluru di tempat kejadian dan serpihan bom paip turut ditemui.

“Polis percaya sekurang-kurangnya lima hingga enam orang melepaskan tembakan ke arah markas menggunakan pelbagai jenis senjata api,” katanya.

Sebelum beredar dari tempat kejadian, kumpulan itu turut meletupkan sebutir bom buatan sendiri seberat 25 kilogram, katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!