Jun Hoong ucap selamat tinggal selepas 22 tahun berkhidmat
SELANG beberapa hari selepas Leong Mun Yee mengumumkan persaraan dari sukan terjun, kini giliran Cheong Jun Hoong pula mengucapkan selamat tinggal selepas hampir 22 tahun berbakti kepada negara.
Perkara tersebut diumumkan Jun Hoong dalam hantaran terkini di Facebooknya, meskipun mengakui dirinya masih komited untuk terus membawa cabaran Malaysia.
Namun gadis kelahiran Ipoh itu berkata, dia terpaksa menerima hakikat bahawa kontraknya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) tidak akan diperbaharui.
"Saya merakamkan penghargaan kepada MSN, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atas sokongan yang diberikan sepanjang karier saya dalam sukan ini. Tanpa mereka saya tidak akan berada di tempat sekarang.
"Saya juga berterima kasih kepada Institut Sukan Negara (ISN) diatas sokongan yang diberikan dalam pelbagai cara, termasuk sokongan perubatan diberikan membabitkan doktor, ahli fisioterapi pemulihan, kaunselor psikologi dan semua kakitangan lain.
"Terima kasih semua atas sokongan, dorongan dan persahabatan sepanjang perjalanan saya dan untuk semua nasihat dan bimbingan diberikan pada setiap peringkat kerjaya saya. Saya sentiasa bersyukur. Sehubungan itu, saya dengan ini mengumumkan persaraan secara rasmi," katanya
Untuk rekod, sepanjang penglibatannya dalam sukan terjun bermula dari tahun 1999, Jun Hoong berjaya merangkul kejuaraan dunia sekali dalam acara acara 10 meter platform individu pada 2017 di Budapest dan satu pingat pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 dalam acara 10 meter platform seirama wanita.
Dalam pada itu, bekas penerjun berusia 31 tahun itu mengakui seseorang itu harus tetap merendah diri apabila berjaya dan bertahan walaupun gagal.
“Saya menerima kegagalan baru-baru ini (Sukan Olimpik) dengan tangan terbuka. Sejak menjalani pembedahan lutut kedua pada September 2018,saya hanya menumpukan pada pemulihan dan pada masa sama mengumpulkan keberanian untuk kembali ke beraksi dengan tujuan untuk melakukan yang terbaik di Sukan Olimpik walaupun menghadapi pelbagai halangan.
“Saya akui amat kesal tidak dapat beraksi secara ideal dalam pertandingan walaupun saya sudah berusaha sedaya upaya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!