SPRM siasat kes tukar status kolam takungan banjir di KL

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil beberapa individu termasuk menemu duga pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk siasatan dakwaan enam kolam takungan banjir di sekitar Kuala Lumpur diluluskan ditukar status untuk projek pembangunan.

Tanpa memperincikan jumlah individu itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan telah dijalankan pihaknya sejak minggu lalu.

Katanya, SPRM akan melihat dan meneliti isu yang dibangkitkan itu termasuklah proses serta kelulusannya.

"Kita sudah panggil individu tertentu. Pegawai kita juga ada menemu duga pihak DBKL dan JPS untuk siasatan lanjut.

"Ada juga dokumen yang akan kita teliti untuk SPRM melihatnya secara terperinci," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambah Azam, pihaknya akan meneliti isu terbabit ekoran kebimbangan masyarakat dengan dakwaan terbabit.

Media sebelum ini melaporkan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, menggesa SPRM mengambil tindakan segera berhubung dakwaan, enam kolam takungan banjir di ibu kota diluluskan dan ditukar status untuk pelaksanaan projek pembangunan, yang bertentangan dengan matlamat sebenar keperluan kolam terbabit.

Beliau dipetik sebagai berkata, Laporan Ketua Audit Negara 2019 mendedahkan sepanjang tempoh 2015 hingga 2020, Datuk Bandar meluluskan 943 kebenaran perancangan walaupun tidak selaras dengan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (PBKL) 2020.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, dilaporkan berkata, pihaknya akan meneliti dan menyiasat dakwaan yang dibangkitkan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!