PBPM gesa ambil tindakan individu derhaka terhadap Agong

Mokhtar Omar menunjukkan tangkap layar petisyen tersebut ketika ditemui di hadapan IPD Dang Wangi.
Mokhtar Omar menunjukkan tangkap layar petisyen tersebut ketika ditemui di hadapan IPD Dang Wangi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap pihak yang melancarkan petisyen hilang kepercayaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Gerakan tersebut dibuat menerusi platform petisyen dalam talian memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Presiden PBPM, Mokhtar Omar berkata, petisyen yang dinamakan 'hilang kepercayaan terhadap KDMM YDPA' tersebut dipercayai dilakukan pihak yang tidak berpuas hati berkenaan isu pembalakan yang dikaitkan dengan bencana banjir yang melanda negara.

"Saya mewakili persatuan ini melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini yang kononnya telah hilang kepercayaan terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

"Kita akan mengarahkan wakil persatuan di setiap negeri untuk membuat laporan polis berhubung perkara ini," katanya dalam sidang akhbar sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Selasa.

Beliau berkata, laporan tersebut dibuat agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat siasatan terperinci terhadap individu di sebalik petisyen tersebut.

"Kita percaya petisyen terbabit berunsur penderhakaan dan boleh menghasut orang ramai membenci institusi diraja," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan menerima laporan tersebut ketika dihubungi pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

"Saya mengesahkan telah menerima laporan polis yang dilakukan wakil Persatuan Bekas Polis Malaysia di IPD Dang Wangi hari ini.

"Siasatan berhubung perkara ini akan dilakukan oleh IPD Wangsa Maju," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!