Daesh: Pendakwaan tarik balik rayuan hukuman penjara dua lelaki
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa membatalkan rayuan pendakwaan terhadap hukuman penjara dua tahun yang dijatuhkan ke atas dua rakan kerana memberi bantuan kewangan RM100 bagi melakukan aktiviti keganasan di Indonesia empat tahun lepas.
Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud memaklumkan pihaknya menarik balik rayuan ke atas Muhammad Syazani Mahzan dan Muhamad Nuurul Amin Azizan.
Hanipah bersidang bersama-sama Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.
Muhammad Syazani dan Muhamad Nuurul Amin, yang ditahan reman sejak 14 Mei 2019, telah selesai menjalani hukuman penjara itu pada 11 Januari 2021.
Mereka yang diwakili peguam Nik Zarith Nik Moustpha dan Fariza Mohammad hadir ke mahkamah ditemani beberapa ahli keluarga serta kelihatan tenang selepas prosiding kes itu selesai.
Pada 11 Januari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Muhammad Syazani dan Muhamad Nuurul Amin, kedua-duanya berusia 30 tahun, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 14 Mei 2019.
Pendakwaan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan itu pada 15 dan 18 Januari 2021.
Mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan mengendalikan secara tidak langsung harta pengganas iaitu dengan cara memberi bantuan kewangan untuk disalurkan ke dalam akaun milik seorang warga Indonesia Agus Riyadi bagi tujuan melakukan aktiviti keganasan.
Kesalahan itu dilakukan di BFC Exchange Malaysia Sdn Bhd yang beralamat di Jalan Kampung Baru, Sungai Petani, Kedah pada 4.29 petang 6 Mac 2018 mengikut Seksyen 130Q Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana harta tersebut.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!