Lembah Klang hujan lebat, trafik sesak
SHAH ALAM - Keadaan trafik di beberapa lebuh raya sekitar Lembah Klang dilaporkan sesak berikutan pertambahan kenderaan ketika waktu puncak ditambah pula hujan lebat.
Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) antara yang dilaporkan sesak melibatkan beberapa laluan terutamanya dari persimpangan Tol Jalan Duta manakala Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan trafik perlahan dari NKVE ke persimpangan Jalan Subang dan ke Bukit Jelutong.
Turut dilaporkan trafik perlahan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) melibatkan beberapa laluan antaranya susur masuk persimpangan Duta dari Jalan Duta.
"Keadaan juga sesak di persimpangan Duta ke NKVE dan Sentul Pasar ke Plaza Tol Batu, Setiawangsa ke susur keluar jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) arah Ampang,"menurut LLM menerusi hantaran di Twitter pada Selasa.
LLM turut melaporkan trafik perlahan di Lebuhraya Besraya melibatkan beberapa laluan.
"Trafik perlahan di lokasi Mines ke Seri Kembangan, Sapura ke The Mines, Menara PGRM ke Pandan Makmur dan Persiaran Pandan 1 ke susur keluar MRR2," ujarnya.
Perkembangan aliran trafik berkenaan dilaporkan setakat jam 6.32 petang Selasa.
Selain itu, hujan lebat yang melanda Lembah Klang turut menyebabkan trafik perlahan di laluan-laluan utama dan pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati ketika memandu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!