Anggota bomba menyelam setengah jam bersihkan parit tersumbat
KINABATANGAN - Lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan terpaksa menyelam antara lima hingga 10 minit untuk membersihkan sebuah parit di Kampung Segaliud, di sini yang tersumbat akibat banjir.
Itu antara operasi yang dilaksanakan pada Isnin selepas kampung yang dilanda banjir masih tidak surut walaupun keadaan sudah pulih sepenuhnya.
Seorang anggota yang terlibat melakukan operasi menyelam, Muhammad Yusri Abdullah Sani berkata, operasi itu dilaksanakan selepas ketuanya menerima laporan daripada penduduk yang memaklumkan ada parit yang tersumbat sehingga menyebabkan kampung mereka tidak pulih dari banjir.
"Rondaan telah dibuat di kawasan yang terjejas banjir sebelum ini dan mendapati beberapa kampung sudah surut ketika itu tetapi Kampung Segaliud masih dilanda banjir.
"Apabila anggota kita periksa dengan menyelam di kedalaman hampir dua meter di parit berkenaan mendapati ada satu tangki tersumbat di dalam saluran kumbahan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Selasa.
Katanya lagi, susulan daripada itu, sepasukan tujuh anggota bertindak memulakan operasi membuat selaman untuk membersihkan parit terbabit.
"Seramai lima anggota yang terlibat menyelam secara berganti-ganti selama setengah jam untuk memecahkan tangki berkenaan.
"Melihat keadaan parit itu, memang agak bahaya sebab air berada paras kepala dan kami terpaksa menyelam berganti-ganti selama lima hingga 10 minit bagi memecahkan tangki berkenaan daripada terus tersumbat," katanya.
Muhammad Yusri berkata, selepas setengah jam kemudian barulah tangki itu dapat dipecahkan dan seterusnya air di dalam parit mula mengalir.
"Kerja mengalihkan tangki berkenaan kemudian segera dilakukan supaya air di dalam parit dapat mengalir dengan baik," katanya.
Sebelum itu, dua video masing-masing berdurasi 20 dan 25 saat dikongsikan pegawai Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah di dalam kumpulan WhatsApp bersama media yang menunjukkan aksi beberapa anggota bomba termasuk Muhammad Yusri bertindak menyelam beberapa kali di dalam parit terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!