14 maut kejadian tanah runtuh di Guizhou China
GUIYANG - Angka kematian akibat tanah runtuh melanda bandar Bijie, di Wilayah Guizhou barat daya China, pada Isnin telah meningkat kepada 14 mangsa, lapor Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan pada Selasa.
Kejadian tanah runtuh berlaku di tapak pembinaan sekitar jam 7 malam Isnin, menurut majlis perbandaran Bijie.
Seramai 17 orang telah ditemui dengan 14 daripadanya disahkan meninggal dunia manakala tiga lagi kini menerima rawatan di hospital.
Mangsa yang cedera berada dalam keadaan stabil, menurut majlis perbandaran.
Operasi menyelamat telah dihentikan dan punca kemalangan masih dalam siasatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!