Gejala nista agama perlu dibanteras
KEHARMONIAN hidup antara agama adalah tonggak kestabilan sebuah masyarakat dan negara. Kerukunan beragama bermakna setiap penganut agama menghormati penganut agama lain.
Dalam dunia yang tidak mengenal sempadan ruang, menyebar luaskan maklumat dan pandangan terhadap apa sahaja termasuk agama, sangat mudah. Dengan semakin galak orang memberi pandangan melalui FB, WhatsApp, Twitter dan Instagram, ia boleh dengan spontan mencetuskan reaksi di antara awam dengan sangat pantas.
Apatah lagi bila ada pihak yang dengan sinis mahupun berani terang-terangan menista agama pihak lain. Sama ada melalui tulisan, tingkah laku mahupun menghasilkan, mengiklan produk yang jelas mempersenda agama. Belum lagi termasuk mereka yang menyalah guna agama melalui gambar atau ayat untuk melariskan perniagaan.
Kini suatu gejala baharu kian merebak di negara ini iaitu menghina agama. Apakah dilakukan atas sebab salah maklumat, akibat pengalaman tersendiri dan salah faham atau menyimpan dendam terhadap agama lain, tergantung kepada naratif sesuatu penyiasatan. Akan tetapi sensitiviti agama memang cepat melahirkan ketegangan. Sebab itu dalam Islam melarang menghina agama lain sangat jelas dan tegas.
Soal tidak faham mengenai agama lain bukan menjadi masalah. Namun jika dengan sengaja membangkitkan isu agama dengan menghina bertujuan kononnya untuk menyatakan pendapat, kerana dikatakan kini zaman bebas bersuara, sebenarnya ia bukan lagi isu kebebasan.
Kebebasan pasti punya batas. Jika mendusta agama adalah suatu kemungkaran di sisi Islam, bebas menista agama adalah juga tidak diterima oleh semua agama.
Membangun sebuah masyarakat dan negara dalam era komunikasi tanpa sempadan sangat mencabar. Dunia kini terdedah kepada pelbagai maklumat yang bukan bersifat ilmu untuk mengukuh. Tetapi untuk saling mencabar, menghina dan menista, termasuk menista agama yang sangat mudah disebar dalam media sosial.
Membina warga negara yang menghormati antara agama sangat rumit. Tatkala isu menangani kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat hendak diuruskan, pertembungan antara agama adalah insiden yang paling perlu dielakkan. Sentimen menjaga maruah agama masing-masing sememangnya tidak dapat dihindari, kecuali segelintir warga dunia, ada yang menolak agama.
Akan tetapi agama adalah pegangan yang bersifat abadi bagi kebanyakan insan kerana ia adalah fitrah. Manusia tanpa agama hanyut dan tenggelam di persada laut tanpa pautan. Apabila ketegangan hubungan antara penganut agama berlaku, natijahnya sangat besar dan sangat lama.
Negara telah memiliki beberapa piagam yang cukup selesa untuk hidup aman antara kaum dan agama. Dokumen Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah antara dokumen asas untuk membawa negara aman sentosa sehingga ke tahap ini. Malangnya hal ini dilihat remeh bagi setengah pihak.
Anehnya sementara semua mahu hidup aman dan bertamadun, ada segelintir yang cukup selesa dengan mengutarakan pandangan serong terhadap orang lain termasuk soal agama. Atas nama kebebasan bersuara mereka berpendirian boleh melontarkan pendapat mengenai apa sahaja, terutama dalam hal yang dianggap kudus di sisi agama.
Bertindak tegas dengan peruntukan undang-undang dalam keadaan semakin berleluasa gejala menista agama dan kaum, adalah wajar. Keharmonian hidup antara kaum dan agama adalah jauh lebih penting daripada melayani mereka yang mahu menjuarai kebebasan mutlak untuk menghina dan memprovokasi penganut agama.
Undang-undang khas mengenai larangan menghina agama nampaknya terpaksa digubal. Ia bukan sama sekali menyekat untuk berhujah dengan ilmu tetapi untuk menghalang mereka yang sengaja mahu mencetuskan ketegangan antara penganut agama.
Menyusun sebuah pengisian dalam sistem pendidikan formal mahupun bukan formal sangat didambakan. Polarisasi adalah merbahaya. Jauh lebih bahaya ialah sentimen benci antara agama sejak dari usia muda.
Jika ini berlaku, masa depan negara ini akan malap. Tergantung kepada para aktivis masyarakat dan pemimpin negara agar dapat meniti dengan sangat berwaspada dan cermat membina negara ini dalam konteks kepelbagaian agama dan kaum.
Setiap pandangan dan tingkah laku yang tersiar dalam media akan menjadi penyebab kepada polemik dan akhirnya pertelingkahan besar tercetus.
*Penulis ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!