'Nasi paku' kembali guna getah pengikat
KOTA BHARU - Trend menggunakan paku untuk membungkus nasi sememangnya menjadi kebiasaan dalam kalangan beberapa peniaga di negeri ini.
Begitupun selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kenyataan mengenai penggunaan paku tersebut, peniaga-peniaga di negeri ini telah mengambil tindakan menghentikan penggunaan bahan berkenaan.
Pemilik Restoran Nasi Hover, Hassan Abdul Rahman memberitahu, dia mula berhenti menggunakan paku sejak dua minggu lalu selepas dimaklumkan ahli keluarga mengenai satu kejadian yang berlaku melibatkan penggunaan paku dalam pembungkusan nasi sehingga boleh mengancam nyawa.
Menurutnya, walaupun masih kekok untuk menggunakan pengikat getah semasa membungkus nasi, namun ia perlu diteruskan bagi memastikan keselamatan pelanggan sentiasa terjamin.
"Memang kekok sikit sebab kita sudah biasa dengan paku. Namun guna getah pun boleh, cuma kita ikat 'double' lah sebab takut tercabut. Kalau guna paku, dijamin tidak terbuka," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Menurutnya, lebih 20 tahun dia menggunakan paku sebagai pengganti getah dan rata-rata pengunjung juga sudah biasa dengan cara tersebut.
Katanya, dia pernah cuba menggunakan getah biasa namun ramai pelanggan yang pelik dengan tindakan berkenaan sekali gus memaksa dia kembali menggunakan paku sehinggalah hujung tahun lalu.
Sementara itu, pemilik Nasi Paku Ayam Kampung di Berek 12, Muhammad Ibrahim, 31, pula berkata, dia sudah bertahun tidak menggunakan paku untuk membungkus nasi di kedainya.
Katanya, pada asalnya, sememangnya perniagaan nasi yang diusahakan keluarganya itu menggunakan paku sepenuhnya sehingga terhasilnya nama kedai berkenaan.
Namun, selepas dia mengambil alih perniagaan berkenaan daripada salah seorang ahli keluarga, dia menukar penggunaan paku kepada getah pengikat biasa kerana bimbang ia mampu mengundang bahaya kepada pelanggan.
"Walaupun bertukar dengan menggunakan pengikat getah, namun menu dan pembungkusan masih sama. Tiada beza, cuma kami tidak gunakan paku sahaja. Itu lebih selamat dan kita pun tidak perlu risau. kalau guna paku, setiap kali kita perlu pesan kepada pelanggan supaya berhati-hati," ujarnya.
Berlainan pula dengan pemilik katering peribadi di Kota Bharu, Rafidah Abu Bakar, 50, yang hanya menyediakan nasi yang dibungkus menggunakan paku jika ada permintaan daripada pelanggan sahaja.
Katanya, kebanyakan tempahan yang diterima adalah melibatkan orang kenamaan yang kebanyakannya mahu makan nasi paku selepas mesyuarat, pertemuan dan sebagainya.
"Kebanyakan orang kenamaan yang tempah, mereka mahu saya sediakan menu yang sama seperti nasi paku di jual di kedai dan tidak mahu ia dihidangkan secara bufet.
"Mereka mahu ia berbungkus seperti beli di kedai. Namun selepas KKM keluarkan arahan, saya telah maklum kepada semua pelanggan bahawa kami kini tidak menggunakan paku lagi, namun menu masih sama. Alhamdulilah mereka semua akur,"katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan menasihatkan peniaga agar tidak menggunakan paku dan dawai sebagai pengikat untuk membungkus makanan kerana ia boleh membahayakan kesihatan pelanggan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!