ASTAF benarkan import ‘melibas’

Saingan STL akan kembali membuka tirai di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur mulai Jumaat ini. Gambar kecil: Abdul Halim
Saingan STL akan kembali membuka tirai di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur mulai Jumaat ini. Gambar kecil: Abdul Halim
A
A
A

PERSEKUTUAN Sepak Takraw Asia (ASTAF) sedia memberi 'lampu hijau' kepada mana-mana pasukan yang mahu menggunakan khidmat pemain import pada saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022.

Bagaimanapun, pasukan terbabit diminta untuk segera menyediakan dokumentasi yang diperlukan untuk dipertimbangkan pihak Persatuan Sepak Takraw Thailand (TTA).

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, pihaknya telah membuat rekomendasi kepada TTA untuk membenarkan pemain import dari Thailand menyertai STL yang bakal bermula Jumaat ini.

“Dokumentasi itu melibatkan pas kerja, insurans perjalanan (dari Thailand ke Malaysia), kontrak serta elaun dan penginapan sepanjang mereka beraksi dengan pasukan terbabit.

“Saya yakin dan percaya pihak TTA akan mempertimbangkan perkara (permohonan) berkenaan dalam masa terdekat terutamanya setelah mendapat rekomendasi daripada saya selaku Presiden ASTAF.

“Jadi saya amat berharap kesemua dokumentasi berkenaan dapat disiapkan segera bagi menjamin segala urusan (mendapatkan pemain import) berjalan dengan lancar.

“Insya-ALLAH, saya rasa pemain-pemain import berkenaan hanya akan dapat beraksi bersama pasukan masing-masing pada minggu kedua atau ketiga STL nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sebelum ini, Naib Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berharap ASTAF dapat mempertimbangkan keputusan untuk membenarkan pemain import beraksi dalam saingan STL kali ini.

Artikel Berkaitan:

Ia susulan amaran daripada ASTAF yang menegaskan bahawa mana-mana pemain import yang beraksi di pentas STL kali ini boleh dikenakan tindakan kerana PSM bukan lagi ahli gabungan badan induk tersebut.

Berikutan itu, TAT mengarahkan empat pemain Thailand - Anuwat Sombatee yang bakal mewakili Perak Bison, Swatbanchan Seekhwa (Johor Tigris), Aekasit Naphom (Penang Black Panthers) dan Kupithat Khatmimalan (Bomba Fighters) tidak menyertai STL.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, kesemua dokumentasi berkenaan adalah selaras dengan syarat terbaharu yang dikehendaki pihak TTA dalam usaha menjamin keselamatan keempat-empat pemain terbabit.

“Saya ingin menasihati pihak persatuan sepak takraw negeri terbabit memberikan perhatian terhadap kesemua dokumentasi berkenaan dalam usaha memastikan khidmat pemain-pemain import berkenaan dapat digunakan.

“Saya juga sudah menyatakan kepada wakil PSM bahawa ASTAF bersedia untuk memberikan kebenaran sementara kepada pengadil sepak takraw yang di bawah kuasa ASTAF untuk membantu menjalankan tugas pada STL kali ini,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!