Banjir: NGO perlu bekerjasama elak bantuan tercicir, pembaziran
KOTA BHARU - Semua badan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama membantu mangsa banjir agar sumbangan dan agihan bantuan dapat diselaraskan sebaik mungkin.
Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, langkah itu juga bagi mengelakkan mangsa banjir tercicir daripada menerima bantuan dan berlaku pembaziran.
Menurutnya, peranan semua pihak seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ketua komuniti dan sebagainya adalah sangat penting dalam proses menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.
"Berdasarkan pengalaman bencana banjir yang dihadapi negara sebelum ini, berlaku banyak pembaziran sumbangan.
"Sebagai contoh, bantuan barangan tertumpu pada tempat yang sama dan ada juga bantuan barangan diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Mustapha berkata, selain itu semua pihak yang terlibat dalam pengurusan banjir dan agihan bantuan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Kita tidak nafikan ia akan memberi cabaran kepada mangsa banjir dan pihak yang membantu, tetapi kita perlu ingat pandemik Covid-19 ini belum berakhir. Pelbagai varian baru telah muncul sekarang ini seperti Delta dan Omicron," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!