MTC sasar eksport produk kayu RM23 bilion
KUALA LUMPUR - Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) menyasarkan jumlah nilai eksport produk kayu Malaysia ke seluruh dunia sehingga hujung tahun ini meningkat kepada RM23 bilion berdasarkan pemulihan yang memberangsangkan dari negara-negara pengimport terutamanya di wilayah Asia Timur dan Amerika Syarikat serta penembusan pasaran di negara-negara baharu.
Pengerusi MTC, Norrida Yusoff berkata, selain disokong faktor digitalisasi, pihaknya optimis sasaran itu mampu dicapai ekoran RM17.9 bilion jumlah nilai eksport produk kayu yang direkodkan negara sehingga Oktober lalu.
Katanya, jumlah nilai eksport yang dicatatkan itu juga merekodkan peningkatan kira-kira 0.41 peratus berbanding jumlah nilai eksport dalam tempoh sama pada tahun lalu.
“Teknologi digitalisasi dalam proses pembuatan produk, pemasaran dan jualan bukan sahaja berjaya menjadikan industri kayu negara berdaya tahan bahkan daya saing juga dapat dipertingkatkan walaupun dalam situasi pandemik Covid-19.
“Pandemik menyebabkan ekonomi terjejas teruk, namun pemain industri tidak menyerah kalah sebaliknya mencari cara baharu untuk bekerja, memasar dan menjual produk-produk kayu kita kepada negara luar.
“Kita juga terus meneroka pasaran baharu seperti di Uzbekistan, Kazakhstan, Rusia dan wilayah Oceania selain kekalkan pasaran di negara-negara sedia ada iaitu yang terbesar di Amerika Syarikat, Eropah dan Timur Tengah,” jelas Norrida pada temu bual eksklusif bersama Sinar Harian, di Ibu Pejabat MTC di sini, baru-baru ini.
MTC ditubuhkan pada Januari 1992 untuk menerajui pembangunan dan pertumbuhan industri perkayuan Malaysia dengan bidang tugas utamanya menggalakkan eksport produk perkayuan seperti kayu gergaji, kayu panel, kayu kumai, kayu tanggam serta perabot bagi pasaran luar negara.
Agensi perkayuan itu memberi khidmat kepada lebih 1,500 pengilang serta pengusaha berasaskan kayu di Semenanjung Malaysia yang menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 100,000 pekerja.
Penularan pandemik mendorong MTC untuk melipatgandakan usaha menggalakkan pengilang dan pengusaha menggunakan teknologi digital dalam penjualan produk-produk kayu mereka.
Ubah trend
“Pandemik membuka mata bahawa produk-produk kayu kita boleh dipasarkan secara dalam talian menggunakan platform e-dagang. Ketika pandemik, kita tidak dapat ke luar negara untuk memasarkan produk tetapi perniagaan harus diteruskan. Jadi, kita alihkan sistem perniagaan ke arah digital,” ujarnya.
Jelasnya, penglibatan MTC dalam pameran dan ekspo perdagangan antarabangsa secara fizikal sebelum ini turut membantu pemain industri meraih jualan sepanjang pandemik sejak tahun lalu menerusi digital.
Selain itu, MTC turut menggalakkan pemain industri ke arah penggunaan mesin yang berteknologi tinggi untuk meningkatkan produktiviti bagi membolehkan mereka mengautomasikan pengeluaran selaras dengan Revolusi Perindustrian 4.0 dan menghasilkan produk bermutu tinggi.
Kesanggupan pemain industri melabur bagi mendapatkan mesin berteknologi tinggi serta digitalisasi dalam pemasaran dan penjualan menjadi evolusi baharu industri kayu Malaysia ketika ini sekali gus menyumbang kepada peningkatan hasil negara.
Jelasnya, lawatannya ke beberapa buah kilang perabot dan kayu mendapati ada sebahagian kilang anak tempatan telahpun melabur dan membeli mesin moden untuk meningkatkan hasil pengeluaran dengan rekaan yang eksklusif.
Katanya, strategi mendigitalkan pengeluaran produk-produk kayu juga akan menarik penglibatan lebih ramai generasi muda dan golongan wanita dalam industri kayu kerana pekerjaan itu tidak lagi akan dilihat sebagai satu kerja 3D iaitu bahaya, kotor dan sukar (berat).
“Contohnya, ada satu kilang pembuat rehal kayu yang saya lawati sebelum ini, jualan dan tempahan agak kurang memberangsangkan tetapi selepas pemiliknya digitalkan pengeluaran rehal mereka, tempahan yang diterima meningkat sehingga tidak menang tangan.
“Selain itu, ramai anak muda turut memohon kerja di kilang tersebut. Kita akan jadikan kilang ini sebagai ‘role model’ atau suri teladan kepada kilang-kilang lain agar mereka juga seiring dengan digitalisasi sekarang,” tambahnya.
Norrida berkata, pengeluaran perabot dan produk kayu lain juga perlu terus diinovasikan mengikut keperluan, cita rasa dan gaya hidup masa kini dari segi seni rekaan, reka bentuk dan fungsi, namun pada masa sama produk itu perlu terus mengikut piawaian kualiti antarabangsa.
Program baharu
Bagi menyokong usaha itu, MTC tampil memperkenalkan Program Inkubator Reka Bentuk (TIMB3R DIP) pada hujung bulan lalu yang mendapat penyertaan memberangsangkan daripada pereka tempatan.
Program itu dijalankan untuk menggalakkan pereka tempatan menghasilkan produk kayu bermutu tinggi dan memenuhi cita rasa pengguna.
Rekaan-rekaan baharu yang dicipta itu seterusnya akan dipadankan dengan kilang yang menghasilkan jenis produk itu dan dikeluarkan secara komersial.
Ujar Norrida, program tersebut akan dijadikan sebagai acara tahunan MTC bagi menggalakkan pereka tempatan terus menghasilkan produk-produk baharu bagi memenuhi kehendak pelanggan.
Evolusi digital ini juga merupakan salah satu pencapaian MTC selepas tiga dekad penubuhan agensi itu di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Norrida yang muncul sebagai wanita pertama menerajui MTC akui terkejut dan terharu kerana diberikan kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab tersebut bermula 1 Oktober lalu.
“Ini adalah bidang baharu bagi saya dan ketika mula memasuki pejabat, saya diperkenalkan dengan galeri MTC. Saya kagum melihat produk yang dipamerkan kerana ia adalah ‘wow factor’ kepada industri ini dan banyak perkara yang orang ramai perlu tahu tentangnya.
“Tugas yang dilakukan MTC sebelum ini sememangnya sangat bagus, banyak fasa yang sudah dilalui dan produk sudah dipasarkan merentasi banyak negara. Banyak lagi usaha yang boleh dipertingkatkan untuk tingkatkan hasil negara,” ujarnya.
Menurutnya, setakat ini masih ramai masyarakat kurang jelas tentang bidang tugas MTC dan ada yang menganggap agensi itu terlibat dalam kerja-kerja penebangan pokok.
“Tugas utama kita ialah menggalakkan eksport produk kayu dan kita perlu pastikan produk itu kompetitif untuk bersaing dengan negara-negara lain. Kita pertingkat, perbaiki dan tambah nilai cara penghantaran produk dengan kaedah baharu,” jelasnya.
Masa depan lebih mapan
Industri perkayuan Malaysiaakan terus kekal di hadapan dari segi kemampanan, kesahihan, kualiti dan standard menerusi pelbagai inisiatif yang dilakukan bagi memastikan bekalan untuk industri perkayuan sentiasa mencukupi pada masa depan.
“Industri perkayuan Malaysia mampu mengeluar dan mengeksport produk kayu yang disijilkan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia bagi memenuhi keperluan pasaran antarabangsa dan memberi jaminan ianya adalah sumber hutan yang diurus secara mampan,” kata Norrida.
Tegas beliau, sektor perhutanan di Malaysia mengamalkan pengurusan hutan lestari (SFM) di mana hanya pokok terpilih akan ditebang untuk tujuan komersial bagi melindungi biodiversiti dan ekosistem hutan.
Ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2030, Malaysia kekal komited terhadap pengurusan hutan yang mampan atas dasar rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar, manfaat sosial dan ekonomi yang berdaya maju untuk memastikan masa depan jangka panjang hutan dan hasil hutannya dan untuk memenuhi pertumbuhan yang semakin meningkat seiring dengan permintaan untuk produk kayu dihasilkan secara mampan.
Beliau menambah, antara faktor utama yang dapat memastikan industri terus mendahului persaingan adalah dengan mempertingkatkan bekalan bahan mentah, meningkatkan automasi dan melatih tenaga kerja mahir.
Mengambil kira keperluan itu, MTC turut melaksanakan program yang bukan sahaja membantu memudahkan pengimportan bahan mentah seperti melalui Program Bantuan Import (IAP) tetapi juga membolehkan pengilang berasaskan kayu menambah nilai kepada produk hiliran mereka untuk pulangan eksport yang lebih tinggi.
“Selain itu, beberapa program baharu akan turut diperkenalkan pada tahun 2022 yang akan menyokong industri perkayuan untuk mengekalkan kitaran pengeluaran dan kemampanan melalui program pembangunan produk OPT, program penanaman pokok di kalangan komuniti yang hasilnya boleh ditebang dalam tempoh setiap lima ke enam tahun dan kewujudan garis panduan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk industri perkayuan,” jelasnya.
Dari segi kepakaran pula, kita sentiasa mencari pelapis bagi memastikan generasi baharu ada kepakaran dalam bidang ini.
“Kita laksanakan program bersama pihak university untuk menarik golongan mahasiswa menceburi sektor perkayuan dan ramai yang sedang menjalani latihan pra-siswazah di MTC. Dari situ kita padankan mereka dengan syarikat pembuatan untuk mereka bekerja,” katanya.
Di samping itu, MTC juga akan menjalankan program bantuan secara proaktif untuk membantu syarikat-syarikat perkayuan membina kuarters pekerja dengan standard yang dipertingkatkan dengan ketara dalam pematuhan terhadap pindaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Sempena majlis sambutan ulang tahun penubuhan MTC yang ke-30 pada 10 Januari depan, MTC buat julung kalinya akan memberi pengiktirafan kepada pemain industri yang berjaya mencapai kecemerlangan prestasi daripada pelbagai aspek menerusi Malaysian Timber Industry Awards.
Sebanyak lima anugerah akan disampaikan iaitu Anugerah Kemampanan dan Alam Sekitar, Anugerah Digitalisasi, Anugerah Operasi Cemerlang, Anugerah Produk Kayu Inovatif dan Anugerah Personaliti Industri sekali gus menjadi satu suntikan semangat dan dorongan kepada pemain industri lain untuk dicontohi.
Menurut Norrida, bagi meneruskan matlamat meningkatkan kredibiliti global industri kayu Malaysia dalam mendepani tahun 2022, MTC akan mempergiatkan penganjuran dan penyertaan dalam pameran perdagangan tempatan dan antarabangsa.
“Pada Januari nanti kita akan sertai Ekspo Dubai 2020 selama 10 hari. Kita akan bawa beberapa pengilang tempatan yang berminat untuk meneroka pasaran di sana,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!