3,961 mangsa banjir di Segamat dipindahkan ke 53 PPS
SHAH ALAM - Seramai 3,961 mangsa banjir membabitkan 1,047 keluarga ditempatkan di 53 pusat pemindahan sementara (PPS) di sekitar daerah Segamat, Johor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya bersama agensi-agensi lain sedang berusaha memindahkan semua mangsa ke tempat yang ditetapkan dalam kadar segera.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengaktifkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Dewan Kelab Polis, Segamat dengan bantuan beberapa agensi lain demi memastikan kebajikan mangsa banjir terpelihara.
"Untuk itu, saya telah mengarahkan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hazani Ghazali untuk menyelaras segala bentuk bantuan kepada penduduk yang terputus hubungan akibat banjir.
"Helikopter milik Pasukan Gerakan Udara (PGU) akan digunakan bagi tujuan menghantar barang keperluan bagi penduduk Segamat yang terputus hubungan ekoran jalan darat dinaiki air," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, sebanyak enam agensi melibatkan 377 anggota terlibat dalam Op Banjir dalam kawasan pentadbiran Polis Kontinjen Johor termasuk 57 personel dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Turut serta dalam Op Banjir adalah seramai 15 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 23 dari Angkatan Relawan Rakyat (Rela), dan 10 orang dari Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart)," katanya.
Tambahnya, PDRM turut bersiap sedia untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan pasca banjir yang akan dilaksanakan oleh elemen Jabatan KDNKA.
"Elemen KDNKA seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), PGU, dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan digerakkan untuk menjalankan proses pembersihan infrastruktur awam dan rumah ibadat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!