Penangguhan sesi persekolahan institusi terlibat banjir wajar: PIBG
KUALA LUMPUR - Beberapa badan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menyifatkan langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguhkan sesi persekolahan bagi institusi pendidikan di negeri-negeri terlibat bencana banjir sebagai keputusan tepat.
Mereka berkata, sesi persekolahan di institusi pendidikan yang digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir sememangnya tidak membolehkan sesi pembelajaran dilaksanakan di sekolah terbabit.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, walaupun pelajar seharusnya memulakan sesi persekolahan mereka, namun penangguhan sesi persekolahan di institusi pendidikan yang digunakan sebagai PPS adalah wajar demi menjaga kemaslahatan dan keselamatan mangsa banjir.
"Tujuan sekolah digunakan sebagai PPS adalah untuk mengutamakan keselamatan dan keperluan mangsa banjir. Kita faham pelajar perlu masuk ke sekolah secepat mungkin, namun kita juga perlu prihatin dan simpati kepada mereka yang memerlukan," katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, Mohammad Ali berkata, ibu bapa perlu menghantar anak-anak mereka untuk mengikuti sesi persekolahan seperti biasa di institusi pendidikan yang tidak terjejas di negeri-negeri yang dilanda bencana banjir.
Bagi Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangasaan Tamil Sungai Renggam, M Sukumaran penangguhan itu akan memberi ruang kepada pelajar dan keluarga membuat persiapan apabila institusi pendidikan dibuka semula.
Menurut Sukumaran, kebanyakan pelajar di sekolah berkenaan menetap di Taman Sri Muda, Shah Alam yang dilanda banjir baru-baru ini telah membuat persiapan awal untuk sesi persekolahan.
"Kebanyakan guru dan pelajar sekolah ini telah membuat persiapan persekolahan sebelum banjir dan bencana itu telah memusnahkan peralatan dan buku yang mereka sudah beli.
"Barangan keperluan harian perlu disediakan terlebih dahulu sebelum mula sekolah. Saya menyanjung baik inisiatif sesetengah pihak yang telah mengedarkan buku rujukan kepada pelajar di sini. Saya percaya penangguhan ini akan memberi masa buat mereka (pelajar dan keluarga) untuk mencari dan membeli semula peralatan yang telah rosak," katanya.
Dalam pada itu, Sukumaran juga berkata, peristiwa banjir kali ini mendatangkan tekanan kepada pelajar dan mereka perlu diberi sokongan emosi dan mental apabila sesi persekolahan bermula kelak.
"Pelajar harus mula bersekolah secepat mungkin. Sudah lebih setahun mereka tidak berjumpa guru dan rakan mereka.
"Tetapi, sudah tentu mereka trauma disebabkan banjir ini. Khidmat kaunseling harus diberikan terlebih dahulu sebelum mereka (pelajar) memulakan sesi pembelajaran agar mereka boleh meneruskan pembelajaran dengan tenang," katanya.
Pada Isnin, KPM mengumumkan terdapat 18 institusi pendidikan masih dinaiki air, 87 masih dijadikan PPS dan lapan yang telah terkesan akibat banjir belum bersedia untuk beroperasi.
Menurut kenyataan itu, institusi-institusi pendidikan berkenaan hanya akan dibuka setelah bersedia untuk beroperasi semula.
- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!