Lima negeri rekod penurunan jumlah mangsa banjir

Sebuah keluarga menggunakan sampan untuk keluar selepas rumah mereka ditenggelami air di Kampung Tolungan, Pamol, Beluran pada Selasa. - Foto Bernama
Sebuah keluarga menggunakan sampan untuk keluar selepas rumah mereka ditenggelami air di Kampung Tolungan, Pamol, Beluran pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mangsa banjir di Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Sabah yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi Rabu menunjukkan penurunan angka, manakala di Selangor dan Terengganu kekal.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di tujuh daerah menurun kepada 5,399 orang daripada 1,430 keluarga setakat 8 pagi, berbanding 5,923 orang melibatkan 1,585 keluarga malam Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan dalam kenyataan berkata, ia susulan penutupan PPS di Segamat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tenang dan Dewan Serbaguna MDL Kampung Paya Merah.

Bagaimanapun, terdapat pertambahan satu PPS di Kompleks JKKK Kampung Jawa, Muar menjadikan keseluruhan 81 PPS masih beroperasi melibatkan tujuh daerah terjejas banjir.

“Jumlah mangsa di Segamat kekal tertinggi direkodkan iaitu 3,804 orang diikuti Tangkak (598), Mersing (470), Muar (161), Kota Tinggi (131), Kluang (124) dan Batu Pahat (111),” katanya menerusi kenyataan di sini pada Rabu.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, tiga sungai masih berada pada aras bahaya iaitu Sungai Muar di Kampung Awat dan Buloh Kasap di Segamat serta Sungai Kesang di Kampung Seri Maamor dekat Tangkak.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan 1,846 mangsa banjir masih berada di 32 PPS pagi Rabu, melibatkan daerah Raub, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin sekali gus merekodkan sedikit penurunan berbanding malam Selasa.

Daripada jumlah itu, 1,046 merupakan mangsa banjir gelombang kedua di Pahang yang bermula awal tahun ini, manakala bakinya ialah mangsa banjir tengkujuh yang masih belum dibenarkan pulang ke rumah.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 21 lokasi jalan ditutup antaranya Jalan Pekan Sehari Kampung Awah di Maran, Jalan Triang 1 (Bera), Jalan Air Hitam (Kuantan), Jalan Kota Gelanggi (Jerantut), Jalan Belimbing-Seri Makmur (Pekan) dan Jalan Ibam-Kampung Aur (Rompin).

Laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan dua sungai di Bera melebihi aras bahaya iaitu Sungai Bera dan Sungai Serting, selain Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan.

Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan mangsa banjir menurun kepada 1,488 individu membabitkan 396 keluarga dengan 15 PPS dibuka setakat pagi Rabu berbanding 1,628 individu melibatkan 448 keluarga, malam Selasa.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,256 mangsa daripada 324 keluarga jam 8 pagi Rabu berbanding 1,771 mangsa daripada 472 keluarga, malam Selasa.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra dalam kenyataan berkata, kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan 14 kawasan di Jasin.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir tidak banyak berubah dengan 3,385 mangsa banjir daripada 1,329 keluarga direkodkan pagi Rabu berbanding 3,365 orang daripada 1,331 keluarga, malam Selasa.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan, kesemua mangsa banjir ditempatkan di 30 PPS di enam daerah terjejas banjir terletak di utara dan pantai timur di negeri itu.

Daerah Kota Marudu kekal mangsa banjir paling ramai dipindahkan dengan 2,668 mangsa daripada 1,120 keluarga di 14 PPS, diikuti Pitas (319 mangsa, 120 keluarga, empat PPS), Telupid (216 mangsa, 49 keluarga, tujuh PPS), Sandakan (45 mangsa, tujuh keluarga, satu PPS), Beluran (38 mangsa, 10 keluarga, satu PPS), dan daerah kecil Paitan (99 mangsa, 23 keluarga, tiga PPS).

Tinjauan udara Bernama di Kota Marudu pada Rabu mendapati banjir di beberapa kawasan telah mula surut dan cuaca cerah.

Di SELANGOR, Info Bencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir di Selangor kekal 40 orang melibatkan dua PPS di daerah Kuala Langat iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang (25 mangsa) dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa).

Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir masih kekal 19 orang daripada lima keluarga di dua PPS di Kemaman, pagi Rabu.

PPS SK Lembah Jabor menempatkan sembilan orang daripada tiga keluarga manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga menempatkan 10 orang daripada dua keluarga.

JPS melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan hanya Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu masih melepasi aras bahaya pagi Rabu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!