Operasi pembersihan pasca banjir Selangor selesai 90 peratus

Ramli meninjau operasi pembersihan pasca banjir di Taman Sri Muda pada Rabu.
Ramli meninjau operasi pembersihan pasca banjir di Taman Sri Muda pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Operasi pembersihan pasca banjir di lapan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor siap 90 peratus dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang Sabtu ini.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir berkata, operasi kutipan sampah pasca banjir di lima daerah iaitu Petaling Jaya, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor serta Kajang telah mencapai 90 peratus.

Menurut beliau, kerja pembersihan kini giat ditumpukan di tiga kawasan iaitu Taman Sri Muda, Shah Alam, Klang (Taman Klang Utama Meru) dan Subang Jaya melibatkan kampung tradisi seperti Kampung Bukit Lanchong dan Kampung Seri Aman.

"Menerusi operasi pembersihan yang dijalankan pada hari ini, kita sasar Klang mencapai capai 90 peratus, Subang Jaya (88 peratus) dan Shah Alam antara 85 hingga 86 peratus.

"Kalau proses pembersihan konsisten antara lima hingga enam peratus sehari, Insya-ALLAH kita jangka operasi kutipan sampah pasca banjir ini dapat diselesaikan pada Sabtu ini," katanya ketika meninjau operasi pembersihan pasca banjir di Zon B Taman Sri Muda pada Rabu.

Mengulas lanjut beliau berkata, tiga daripada empat zon di Taman Sri Muda telah diselesaikan dan operasi pembersihan kini giat ditumpukan di zon B.

"Tiga TS (stesen pemindahan sementara) di Taman Sri Muda telah ditutup dan berbaki satu TS di zon B yang masih beroperasi.

"Sebanyak 40 lori Roll On Roll Off (roro), 36 lori 10 tan serta 27 jengkaut meneruskan kerja pembersihan pasca banjir di zon B pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

"Kita bekerja lebih masa bagi menyegerakan operasi pembersihan di kawasan ini dan berharap selesai antara Jumaat atau Sabtu ini," katanya.

Katanya, kerajaan negeri dan Pusat akan melaksanakan pembersihan mega selepas kutipan sampah pasca banjir selesai pada Sabtu bagi menceriakan kembali Taman Sri Muda yang terjejas teruk susulan banjir pada 18 Disember lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!