Tak patuh waktu janji temu, 'walk-in' punca PPV Kelana Jaya sesak
SHAH ALAM - ProtectHealth menjelaskan kekecohan yang berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kelana Jaya pada Selasa adalah disebabkan ketidakpatuhan orang ramai terhadap waktu janji temu.
Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Datuk Dr Anas Alam Faizli berkata, ramai penerima yang sepatutnya hadir janji temu pada waktu pagi tetapi datang pada waktu petang.
“Malah ada juga yang hadir pada waktu petang tetapi tidak memiliki sebarang janji temu dan hanya ingin melalui proses 'walk-in' sedangkan kaedah tersebut sudah tidak dibenarkan lagi,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada Selasa, ProtectHealth memaklumkan suntikan dos penggalak secara ‘walk-in' tidak lagi diberikan di PPV bagi mengelakkan kesesakan.
Tular sebelum ini mengenai satu video di PPV Vision College, Kelana Jaya yang kecoh apabila keadaan di situ menjadi sesak dan tidak terkawal hingga mengakibatkan mereka yang ingin mengambil dos penggalak gagal mematuhi penjarakan fizikal.
Menerusi video berdurasi 35 saat itu, ramai netizen bersimpati melihat keadaan beberapa warga emas yang terpaksa berdiri lama sebelum menunggu giliran mereka dipanggil.
Mengulas lanjut, Anas Alam berkata, beliau telah menasihatkan kakitangan PPV supaya meminta mereka yang hadir ke situ secara 'walk-in' untuk pulang bagi mengelakkan kesesakan yang lebih teruk.
“Penerima yang mempunyai janji temu juga semalam sudah dinasihatkan supaya menunggu di dalam kenderaan dan staf akan menghubungi mereka apabila tiba giliran,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!