Kehadiran sukarelawan disambut dengan air mata
SUNGAI PETANI - Kehadiran tujuh sukarelawan Misi Bantuan Banjir dari Kedah ke Mentakab dan Temerloh, Pahang pada Rabu disambut dengan linangan air mata.
Sukarelawan, Fatin Azzahra Abd Rashid berkata, banyak kenangan duka dan cerita sedih dikongsi mangsa banjir yang berdepan kehilangan harta benda dan kerosakan tempat tinggal.
Menurutnya, antara paling menyentuh perasaan apabila salah seorang mangsa yang ditemui menceritakan rumah yang baru dibina hasil simpanan berpuluh tahun ranap sekelip mata.
"Kehadiran sukarelawan yang terdiri daripada beberapa usahawan membawa barangan sumbangan yang dikumpul termasuk bantuan daripada orang ramai disambut dengan rasa syukur dan air mata sedikit sebanyak merawat duka di hati mangsa.
"Banyak kejadian sedih dan pilu kami saksikan, namun mereka reda serta tetap bersyukur kerana nyawa masih panjang biarpun diuji sedemikian rupa," katanya.
Beliau berkata, mangsa memerlukan sokongan daripada masyarakat untuk terus bangkit selain bantuan dari pelbagai segi sama ada tenaga kerja dan peralatan mencuci serta makanan.
Jelasnya, rombongan yang disertai pelbagai pihak itu turut membawa makanan kering, air minuman, ubat-ubatan, periuk nasi elektrik, pemanas air elektrik, bantal, selimut dan pencuci lantai.
Misi bantuan turut singgah dan sempat mengedarkan barangan ke Taman Desa Jaya, Kampung (Kg) Jenderak, Kg Bangau Parit, Kg Paya Dalam, Kg Paya Kecik, Kg Batu Kapur, Kg Tualang, dan Kg Sungai Buloh.
Beliau dalam masa sama memohon agar semua pihak membantu dan bergabung tenaga bagi menunjukkan keprihatinan sekali gus meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir di seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!