Tengkujuh: Harga sayur, ayam stabil di Perak
IPOH - Banjir dan musim tengkujuh di beberapa negeri yang bermula sejak awal November lalu tidak menjejaskan bekalan dan harga barangan keperluan di Perak.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, bekalan barangan seperti telur, ayam, ikan dan sayur-sayuran adalah stabil dan dijual pada harga pasaran biasa.
"Bekalan adalah stabil, tidak ada timbul isu harga melambung atau sebagainya.
"Berdasarkan laporan secara harian oleh pegawai pemantau harga, kita dapati di pasar-pasar awam seluruh negeri tidak berlaku sebarang masalah.
"Malah bagi sesetengah barangan seperti sayuran telah berlaku penurunan harga (yang dilaporkan naik harga sebelum ini)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan walkabout pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) di Pasar Besar Ipoh di sini pada Rabu.
SHMKM yang dijadualkan berakhir 31 Disember lalu telah dilanjutkan selama 35 hari lagi berkuatkuasa 1 Januari hingga 4 Februari depan.
Jumlah barangan harga terkawal bagi pelaksanaan SHMKM itu adalah sama iaitu melibatkan 12 jenis barangan makanan keperluan asas dari kategori ayam, telur ayam dan sayur-sayuran.
Saifullizan berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan skim itu, didapati majoriti peniaga di negeri ini mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan apabila hanya 15 kesalahan dikenal pasti.
Katanya, 13 kes adalah berkaitan kesalahan tiada tanda harga khas berwarna merah jambu dan dua lagi bagi kesalahan menjual melebihi harga kawalan membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM1,021 dan kompaun RM2,200.
"Dengan lanjutan tempoh yang dibuat kerajaan ini, kita dapati beberapa jenis barangan termasuk sayur sudah mengalami penurunan harga.
"KPDNHEP dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan teruskan kerjasama untuk pastikan keberadaan barang-barang keperluan dan harga di pasaran di negeri ini adalah stabil dan dijual pada harga berpatutan," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sepanjang tahun lalu, KPDNHEP Perak berjaya mengutip RM532,170 nilai kompaun, manakala rampasan ke atas peniaga yang melakukan kesalahan bernilai RM766,144.
Katanya, jumlah itu membabitkan 1,020 tindakan kes yang dihasilkan menerusi pemeriksaan ke atas 80,987 premis di seluruh negeri.
"Sebanyak 1,210 aduan telah direkodkan tahun lalu dengan aduan tertinggi berkaitan transaksi dalam talian iaitu 544 kes, aduan harga (201 kes), perkhidmatan yang mengelirukan (179), bengkel kenderaan bermotor (52) dan barang kawalan (37).
"Bagi kes tuntutan di Tribunal Pengguna pula, sebanyak 193 kes telah difailkan dan daripada jumlah itu, 90 kes melibatkan barangan manakala 103 lagi berkaitan perkhidmatan," katanya.
Bermula tahun ini, KPDNHEP Perak akan menempatkan Kaunter Timbang Pengguna di pasar awam serta lokasi tumpuan pengguna termasuk pasar malam di seluruh negeri.
Kaunter berkenaan bagi kegunaan orang ramai yang ingin membuat perbandingan timbangan dan membuat aduan secara terus sekiranya ada isu-isu berbangkit berkenaan urus niaga di pasar-pasar tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!