MCW tidak mahu Azam tunduk kepada tekanan
SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berharap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki tidak tunduk kepada sebarang tekanan yang mempunyai agenda politik.
MCW menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu mahu Azam meneruskan tugas menahan, menyiasat dan mencadangkan pendakwaan terhadap ahli politik yang terlibat rasuah tanpa ada tolak ansur.
“Kami minta agar Tan Sri jangan tunduk kepada sebarang tekanan yang jelas ada agenda politik untuk melemahkan semangat Tan Sri dan seluruh warga SPRM.
“Kami percaya kepada integriti Tan Sri dalam isu sekarang, buktikan bahawa segala prosedur telah diikuti dan tiada kesalahan dilakukan.
“Gunakanlah segala pengalaman selama hampir 35 tahun dalam SPRM bagi meneruskan agenda membersihkan rasuah di negara yang tercinta ini,” katanya.
Badan bukan kerajaan (NGO) itu akan terus mendesak kepimpinan negara terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melindungi penjawat awam seperti ketua pengarah dan pegawai SPRM supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan lancar tanpa gangguan.
“Kami sedar siapa sahaja yang menjawat jawatan KP SPRM pasti akan menempuh cabaran dan rintangan sebagai penjawat awam yang paling berat tanggungjawabnya dalam pengurusan kerajaan.
“Jadikan peristiwa empat atau lima orang staf SPRM yang pernah pecah amanah sebagai pengajaran penting, buktikan mereka adalah sangat sedikit dan terpencil berbanding 3,000 staf dan pegawai yang ada dalam SPRM,” ujar MCW.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!