Djokovic tidak terima layanan istimewa
NOVAK Djokovic tidak menerima sebarang layanan istimewa dalam mendapatkan pengecualian daripada keperluan vaksinasi Covid-19 untuk bermain di Terbuka Australia akhir bulan ini, kata Tenis Australia dan kerajaan negeri Victoria.
Pemain nombor satu dunia itu sebelum itu mengumumkan bahawa dia menerima pengecualian untuk bermain dalam kejuaraan Grand Slam di Melbourne.
Malah seorang pegawai berkata, Djokovic antara seorang daripada 'segelintir' pemohon yang berjaya dalam kalangan 26 orang yang mendapatkan pengecualian.
"Saya fikir ramai orang dalam komuniti Victoria akan mendapati ini sebagai hasil yang mengecewakan.
"Tetapi prosesnya adalah proses, tiada siapa yang mendapat layanan istimewa. Proses ini sangat mantap. Ia tidak dikenal pasti dan kami berada di mana kami berada, dan tenis boleh bermula," kata pemangku Menteri Sukan Victoria, Jaala Pulford pada sidang media.
Keputusan untuk memberikan pengecualian kepada Djokovic mencetuskan kritikan di Australia, apabila lebih 90 peratus orang yang berumur lebih daripada 16 tahun telah mendapat dua dos vaksin terhadap Covid-19.
Untuk rekod, Melbourne sebelum ini berdepan tempoh penutupan terpanjang dunia untuk membendung Covid-19, kini berdepan wabak varian Omicron.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tenis Australia, Craig Tiley berkata, proses permohonan dua peringkat adalah sulit dan dikendalikan oleh pakar bebas.
"Semua permohonan telah dinilai untuk memastikan sebarang pengecualian memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Kumpulan Penasihat Teknikal Australia mengenai Imunisasi (ATAGI).
"Kami benar-benar memahami dan berempati dengan... orang yang kecewa dengan fakta bahawa Novak telah datang kerana kenyataannya sejak beberapa tahun lalu mengenai vaksinasi.
"Namun akhirnya terpulang kepada beliau untuk berbincang dengan orang ramai mengenai keadaannya, jika beliau memilih untuk berbuat demikian, dan sebab mengapa beliau menerima pengecualian," kata Tiley.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!