Rombak kabinet, itu hak PM: Muhyiddin
MUAR - Keputusan untuk merombak kabinet adalah hak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan mengikut perancangan beliau sendiri.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua itu terpulang kepada Perdana Menteri sama ada mahu membuat sebarang perubahan dalam barisan kabinet atau sebaliknya.
"Saya tidak boleh hendak komen, itu hak Perdana Menteri (sama ada) dia hendak rombak atau tidak, itu hak dia. Tapi biasalah dalam politik orang buat ramalan, jadi terserah kepada ALLAH SWT dan Perdana Menteri untuk putuskan," katanya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian ketika ditanya kewajaran untuk Perdana Menteri melakukan rombakan berkenaan termasuk spekulasi yang menyatakan bakal menyaksikan tiga menteri digugurkan dalam masa terdekat.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Jawa di Lenga di sini pada Rabu.
Pada Selasa media melaporkan setelah hampir lima bulan menerajui kerajaan Keluarga Malaysia, Ismail Sabri dijangka melakukan rombakan kabinet dan melantik Timbalan Perdana Menteri minggu depan.
Antara nama menteri yang disebut-sebut bakal terlibat ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dan Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Malah pada Selasa, Ismail Sabri ketika mengulas berkenaan khabar angin itu berkata, selagi tiada kenyataan rasmi daripada beliau berhubung perkara tersebut, orang ramai boleh menganggap cerita berkenaan sebagai spekulasi.
Tegas Ahli Parlimen Bera itu, senarai nama yang bertebaran di mana-mana platform media adalah perkara biasa, yang mana boleh dianggap sebagai kebiasaan seperti sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!