Kane azimat penting buat Tottenham
PENGURUS Tottenham Hotspur, Antonio Conte memahami kekecewaan Harry Kane apabila kurangnya trofi diraih bersama The Spurs sejak beberapa musim lalu, namun menegaskan penyerang itu masih merupakan kunci utama untuk kelab London itu membina platform kejayaan dalam pasukan.
Kane sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City pada musim panas tetapi Conte berkata, dia berpuas hati sepenuhnya dengan komitmen pemain berusia 28 tahun itu bersama pasukan.
Malah menurut pengendali dari Itali itu, ia merupakan adalah pilihan hebat daripada pemilik Daniel Levy untuk mengekalkan Kane di kelab itu, yang kali terakhir memenangi kejuaraan pada 2008 apabila menjulang Piala Liga.
“Saya tahu situasi pada musim panas dan, apabila Harry memutuskan untuk kekal di Tottenham, saya mendapati dia seorang pemain yang terlibat sepenuhnya dalam projek ini... jika kita mahu berfikir untuk membina sesuatu untuk menang, Harry mesti menjadi titik permulaan untuk mencipta impak tersebut.
“Saya faham situasi Harry. Apabila anda menamatkan karier, anda boleh melihat penampilan sepanjang bersama pasukan, tetapi pada masa sama, adalah penting untuk melihat apa yang anda telah menang. Ini penting, terutamanya apabila anda beraksi untuk pasukan berprofil tinggi.
“Saya fikir apabila Tottenham membawa saya ke sini mereka mahu menghantar isyarat di luar, dan mungkin juga kepada pemain Tottenham. Kami perlu cuba membina situasi di mana kami semua terlibat dan cuba mencipta situasi yang kami boleh lakukan. Berdaya saing untuk cuba menang,” katanya.
Conte, sebelum ini berpengalaman di saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila membimbing Chelsea merangkul kejuaraan liga pada 2016-17.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!