Lelaki tumbuk, ugut bunuh pemandu lori ditahan
KLANG - Polis menahan seorang lelaki kerana menumbuk dan mengugut mahu membunuh seorang pemandu lori dalam kejadian di sebuah rumah di Kapar pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata,dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu, mangsa bersama isteri dan anaknya berada di sebuah klinik bertindak menegur suspek yang ketika itu dalam keadaan mabuk.
Menurutnya, selepas ditegur suspek mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap mangsa dan berlaku pertengkaran antara mereka.
"Pertengkaran itu kemudiannya berlarutan di rumah mangsa apabila suspek datang bersama seorang lelaki dengan menunggang sebuah motosikal.
"Ketika itu, suspek bertindak menumbuk mangsa dan berlaku pergelutan antara mereka. Suspek kemudiannya beredar, namun kembali semula dengan membawa paip besi dan mengugut mahu membunuh mangsa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Vijaya berkata, hasil laporan dan siasatan, polis menahan suspek berumur lingkungan 36 tahun itu di sebuah kawasan di Klang.
"Suspek direman sehingga 7 Disember untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!