Penantian rakyat Kelantan selama 23 tahun berakhir

Jambatan tersebut antara lima projek mega di Kelantan yang diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, baru-baru ini.
Jambatan tersebut antara lima projek mega di Kelantan yang diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, baru-baru ini.
A
A
A

TUMPAT - Tidak lama lagi Jambatan Palekbang-Kampung Cina yang merentasi Sungai Kelantan bakal menjadi realiti.

Jambatan tersebut antara lima projek mega di Kelantan yang diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, baru-baru ini.

Pengumuman itu tentunya disambut baik seluruh rakyat Kelantan khususnya di Tumpat yang mana penantian untuk jambatan ketiga di daerah ini akan menjadi kenyataan, sementelah pembinaan jambatan itu diuar-uarkan sejak 1996 lagi.

Malah ramai berasa lega kerana jambatan itu nanti dapat menyuraikan kesesakan lalu lintas setiap kali musim perayaan dan waktu puncak.

Penduduk Kampung Palekbang, Asmah Che Ya, 85, berkata, sudah 23 tahun penduduk di sini menunggu jambatan itu tersergam merentasi Sungai Kelantan.

“Saya masih ingat majlis gilang- gemilang peletakan batu asas pembinaan jambatan pada 1996 di bawah pemerintahan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan.

“Sultan Kelantan ketika itu, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra mencemar duli merasmikan peletakan batu asas tersebut,” katanya.

Bagaimanapun katanya, selepas 23 tahun menunggu, ia senyap begitu sahaja dan akhirnya ia diumumkan lagi akan dibina oleh kerajaan baharu.

Artikel Berkaitan:

Asmah menunjukkan gambarnya di hadapan batu asas Jambatan Palekbang pada 1996 semasa menunggu ketibaan Sultan Kelantan ketika itu.
Asmah menunjukkan gambarnya di hadapan batu asas Jambatan Palekbang pada 1996 semasa menunggu ketibaan Sultan Kelantan ketika itu.

Nikmat untuk generasi baharu

Asmah berkata, dia mungkin tidak sempat menikmati kemudahan itu tetapi berharap ia akan menjadi kenyataan dan dapat dinikmati anak cucunya nanti.

“Orang tua-tua kata, kalau kali ketiga umum tentunya akan jadi kenyataan.

“Peletakan batu asas Jambatan Palekbang oleh kerajaan negeri, janji PRU13 akan dibina jambatan itu jika BN menang dan kali ini pula kerajaan baru umum nak bina.

“Kita pakat berdoalah semoga pembinaan jambatan ini jadi kenyataan,” katanya.

Keperluan mendesak

Bagi Salamah Wan Mohd Zain, 51, dia turut teruja apabila kerajaan mengumumkan akan membina Jambatan Palekbang.

Katanya, memang rakyat Tumpat memerlukan jambatan tersebut kerana kesesakan yang amat sangat di bulatan Wakaf Bharu.

“Sudah masanya ada jambatan satu lagi di daerah ini, ia dapat menyuraikan kesesakan nanti.

“Adanya jambatan baru di Palekbang menghidupkan kembali bandar Palekbang yang suatu ketika dulu termasyhur sebagai bandar tempat kapal berlabuh,” katanya.

Jangan terus jadi polemik politik

Manakala Mohamed Ismail dari Kampung Laut berharap, pembinaan jambatan itu menjadi kenyataan.

Katanya, memang kerajaan mengumumkan pembinaan jambatan itu, namun pastinya ia akan memakan masa kerana melibatkan projek besar.

“Harap-harap ia jadi kenyataan kali ini, rakyat penat dah tunggu. Nak harapkan kerajaan negeri bina jambatan ini, dia tak mampu, kena Kerajaan Pusat juga bantu,” katanya.Jambatan jadi polemik politik

Pembinaan Jambatan Palekbang-Kampung Cina telah menjadi polemik politik selama 23 tahun.

Mohamed
Mohamed

Setiap kali tibanya PRU, ia dicanang orang politik bahawa pembinaan jambatan tersebut adalah janji kerajaan Pas yang terus ditagih rakyat.

Difahamkan jambatan tersebut akan dibina sebuah syarikat yang mendapat hak untuk membangunkan kawasan tebing sungai Lembah Sireh.

Mereka mengumumkan akan membina jambatan tersebut dengan kos RM150 juta, termasuk dalam pakej pembangunan tebing Sungai Kelantan bernilai RM2 bilion.

Bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan, malah tinjauan Sinar Harian di lokasi peletakan batu asas tersebut mendapati kawasan itu terbiar dan tulisan pembinaannya juga sudah terpadam.

Ketika rakyat menunggu pembinaan Jambatan Palekbang itu dilaksanakan, sebaliknya yang berlaku apabila Kerajaan Pusat semasa zaman pemerintahan BN tampil membantu.

Jambatan kedua Sultan Yahya Petra membabitkan kos RM184.4 juta sepanjang 800 meter dibina pada 2007 dan siap pada 2013.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!