Hampir 5,500 Wira Agro terjejas banjir
KUALA LUMPUR - Hampir 5,500 pengusaha industri agromakanan atau Wira Agro melibatkan semua subsektor agromakanan terjejas akibat banjir yang melanda seluruh negara dengan anggaran kerugian berjumlah RM67.72 juta.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, jumlah itu berdasarkan laporan diterima sehingga 3 Januari dan Selangor mencatatkan kerugian dianggarkan berjumlah RM11.88 juta membabitkan 851 orang Wira Agro.
"Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui pelbagai jabatan dan agensi terus melaksanakan penilaian bagi mengenal pasti kerugian sebenar dialami oleh golongan sasar yang terkesan," katanya ketika ditemui pemberita dalam program menyantuni Wira Agro di Hulu Langat pada Rabu.
Program tersebut turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Zahimi Hassan dan Pengarah Pertanian Selangor, Azahar Ibrahim.
Dalam pada itu, Nik Muhammad Zawawi memaklumkan, MAFI telah memperuntukkan Dana Bangkit Semula Keluarga Agro berjumlah RM100 juta dan Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan berjumlah RM80 juta serta Tabung Bencana Tanaman Padi berjumlah RM12 juta untuk membantu Wira Agro yang terkesan.
"Saya berharap bantuan ini akan memberi nafas baharu kepada Wira Agro untuk bangkit semula di samping memastikan sekuriti makanan Keluarga Malaysia terus terjamin," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!