Lebih 10 tahun guna paku, peniaga akur beralih guna getah

Pekerja Nasi Sumatera Haji Ismail, Mohammad Faizol Ramli, 27, menunjukkan nasi paku yang telah menghentikan trend popular penggunaan paku untuk membungkus nasi sebaliknya mula menggunakan getah ketika tinjauan Bernama di Kedai Nasi Sumatera Haji Ismail pada Rabu. - Foto Bernama
Pekerja Nasi Sumatera Haji Ismail, Mohammad Faizol Ramli, 27, menunjukkan nasi paku yang telah menghentikan trend popular penggunaan paku untuk membungkus nasi sebaliknya mula menggunakan getah ketika tinjauan Bernama di Kedai Nasi Sumatera Haji Ismail pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Peniaga ‘nasi paku’ di bandar ini dilihat mula menukar kaedah pembungkusan apabila menggunakan getah bagi menggantikan logam itu.

Langkah itu diambil susulan peringatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa peniaga makanan menggunakan paku, dawai kokot atau bahan seumpama yang berbahaya pada pembungkusan makanan boleh didakwa di mahkamah.

Pembantu kedai Nasi Sumatera Haji Ismail, Mohammad Faizol Ramli, 27, berkata, majikannya mula menghentikan penggunaan paku untuk pembungkusan nasi sejak Sabtu lepas (1 Januari) dan menggantikan dengan getah selepas mendapat tahu mengenai arahan dikeluarkan oleh KKM.

Katanya, perkara itu tidak menjadi masalah baginya untuk akur dengan arahan berkenaan demi menjamin keselamatan pelanggan walaupun tradisi itu telah digunakan sejak lebih 10 tahun secara turun temurun.

“Sebaik mendapat tahu mengenai perkara ini, majikan saya iaitu Syahir Ismail, 29, terus menghentikan penggunaan paku bagi pembungkusan nasi dan menggantikan dengan getah.

“Selain untuk keselamatan pelanggan, ia juga secara tidak langsung dapat menjimatkan kos iaitu getah yang jauh lebih murah berbanding penggunaan paku berharga hampir RM80 sekotak, manakala getah hanya RM8 untuk sepeket,” katanya ketika ditemui Bernama di kedai Nasi Sumatera Haji Ismail, di sini pada Rabu.

Bercerita lanjut, Mohammad Faizol juga berpendapat pembungkusan nasi dengan menggunakan getah lebih senang berbanding paku, selain ia juga dapat mengurangkan risiko untuk tercucuk di jari.

“Setakat ini rata-rata pelanggan juga tidak mempersoalkan penggunaan getah kerana mereka sedia maklum dengan arahan KKM selain ia juga tidak menjejaskan apa-apa melainkan hanya sekadar trademark, ” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang pelanggan Anisa Ahmad, 38, yang juga seorang doktor perubatan di sebuah hospital di sini berkata, penghentian penggunaan paku itu adalah sangat baik.

“Dengan menghentikan trend yang dikatakan popular sekitar pantai timur ini adalah satu langkah yang baik memandangkan ia mengundang bahaya buat orang ramai terutamanya kepada kanak-kanak.

“Walaupun penggunaan paku di nasi ini dilihat sebagai tradisi, namun ia lebih baik sekiranya peniaga mengambil langkah berwaspada dengan tidak menggunakannya untuk mengelakkan kejadian tidak diingini lagi selepas ini susulan laporan dikeluarkan oleh KKM baru-baru ini,” katanya.

Pada Selasa, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mana-mana peniaga yang disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya di bawah Peraturan 36, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, hukuman lebih berat boleh dikenakan sekiranya bahan tersebut ditemukan dalam makanan.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!