Pelajar 16 tahun calon penerima Anugerah Nobel Keamanan
STOCKHOLM - SWEDEN. Greta Thunberg, pelajar sekolah berusia 16 tahun dari Sweden dicalonkan sebagai penerima Anugerah Nobel Keamanan untuk tahun ini.
Pencalonan Thunberg dibuat tiga ahli Parlimen Norway yang mahu melihat usaha remaja berkenaan menghalang perubahan iklim, mendapat pengiktirafan.
"Greta Thunberg telah melancarkan gerakan besar-besaran yang menyumbang kepada keamanan," kata ahli Parlimen Sosialis Norway, Andre Ovstegard.
Bermula dengan bantahan menentang perubahan iklim di hadapan bangunan Parlimen Sweden pada Ogos tahun lalu, ia kemudian menjadi rutin buat Thunberg untuk meninggalkan kelas pada setiap hari Jumaat untuk mengadakan protes.
Protes tersebut kini menjadi inspirasi terutama dalam kalangan pelajar seluruh dunia untuk turut sama mengadakan bantahan demi mempertahankan hak mewarisi dunia yang bersih.
Dengan #FridaysforFuture, Thunberg terus meraih perhatian dunia apabila dijemput memberi ucapan di Persidangan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) di Poland Disember tahun lalu dan Forum Ekonomi Dunia di Davos pada Januari lalu.
Sementara itu, Thunberg menulis di laman Twitter bahawa ia adalah satu penghormatan untuk dicalonkan.
Sekiranya Thunberg memenangi anugerah itu, ia menjadikannya penerima termuda sejak Malala Yousafzai dari Pakistan yang memenangi anugerah berprestij itu pada usia 17 tahun.- BBC
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!