Ular 'menyorok' dalam enjin kereta
SHAH ALAM - Seekor ular sawa batik sepanjang dua meter ditemui di dalam enjin kereta jenis Proton Iswara di Seksyen 18 di sini pada Rabu.
Pemilik kereta, Zainy Kasiran, 58, berkata, kehadiran ular sawa itu disedari jirannya yang melihat reptilia itu menyelinap ke bawah keretanya yang diletakkan di depan rumah sekitar jam 8.30 pagi.
Menurutnya, pihak bomba dihubungi bagi membantu mengeluarkan reptilia tersebut.
"Hampir 30 minit masa diambil pihak bomba mengeluarkan ular yang membelit pada bahagian enjin kereta," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Zainy yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, kejadian sama pernah berlaku hampir tiga kali di sekitar kawasan perumahan tersebut.
"Kawasan saya tidak terlibat banjir pada 18 Disember lalu. Tapi kawasan ini dikelilingi kawasan banjir. Saya tak pasti sama ada ular ini tersesat atau mungkin datang dari sungai berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!