720 pelajar di Los Angeles adalah gelandangan

720 pelajar di Los Angeles adalah gelandangan - Foto AFP
720 pelajar di Los Angeles adalah gelandangan - Foto AFP
A
A
A

LOS ANGELES - CALIFORNIA. Pengetua Sekolah Telfair di sini, Jose Razo mahu melihat semua pelajarnya menghabiskan masa dengan memikirkan tugasan sekolah, pemarkahan atau bermain.

AFP melaporkan, malangnya, realiti sebenar untuk 720 pelajar di sekolah itu tidak seperti yang dibayangkannya, kerana mereka dikategorikan sebagai gelandangan.

“Makanan, tempat tidur, adalah antara keperluan yang perlu mereka fikirkan dan ia antara cabaran yang perlu dihadapi. Seseorang yang berusia tujuh atau lapan tahun tidak sepatutnya memikirkan semua ini,” kata Razo.

Menurut Kesatuan Sekolah Daerah Los Angeles, hampir 18,000 pelajar di daerah itu dikategori sebagai gelandangan dan Telfair berada di tengah-tengah krisis.

Sekolah itu dibina pada 1945, terletak di Pocoima, kira-kira 30 minit perjalanan ke utara pinggir bandar Los Angeles dan sebahagian besar daripada mereka adalah pelajar - 98 peratus adalah berketurunan Latin.

Malah, hampir separuh daripada pelajar gelandangan ini datang daripada keluarga berpendapatan rendah yang berjuang untuk kelangsungan hidup.

Kebanyakan mereka dipaksa untuk tinggal bersama saudara-mara, di rumah kongsi, di garaj, kadangkala tanpa bekalan air atau rumah bergerak.

Lebih menyedihkan, hampir separuh daripada mereka terlalu miskin untuk mendapat kelayakan makanan percuma atau separuh harga.

Artikel Berkaitan:

“Jika seorang ibu tunggal bekerja untuk menyara dua orang anak yang bersekolah, diri sendiri dengan pendapat sebanyak AS$12.00 (RM49.00), ia hanya mencukupi untuk makanan,” kata Razo yang juga pernah melalui hidup sebagai gelandangan.

Katanya, jumlah keluarga akan bertambah dua kali, tiga kali atau empat kali ganda di dalam sebuah rumah. Sebuah keluarga yang mempunyai dua atau tiga orang anak terpaksa menyewa sebuah bilik.

Kata Razo, kediaman bagi sesetengah pelajar di Telfair adalah ruang tamu yang pastinya mereka tidak akan menikmati tidur yang nyaman.

“Jadi keesokan pagi mereka datang ke sekolah dengan keadaan letih dan cemas,” katanya.

Malah ada sebilangan kecil pelajar juga, tinggal di motel, tempat perlindungan bahkan juga di dalam kereta.

Terdapat juga di kalangan kanak-kanak ini menjadikan bilik mandi satu-satunya tempat yang tenang untuk melakukan kerja rumah.

Angka-angka ini amat mengecewakan dalam keadaan yang merupakan rumah bagi ekonomi kelima terbesar di dunia tetapi mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di negara ketika kos-hidup dipertimbangkan.

"Kita perlu memecahkan kitaran kemiskinan. Saya katakan kepada mereka bahawa kamu mungkin miskin sekarang tetapi kamu tidak akan menjadi miskin selama-lamanya.

"Kami cuba menunjukkan kepada anak-anak bahawa segala-galanya mungkin, mereka boleh mencapai matlamat apa saja yang mereka mahu," katanya.

Dia juga turut mengingatkan mereka bahawa jalan keluar dari kemiskinan ini adalah melalui pendidikan.

Katanya lagi, tugas guru di sini bukan hanya mengajar, mereka adalah pekerja sosial, kaunselor, terapi, jururawat dan juga sebagai ibu bapa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!