Rombakan kabinet hanya khabar angin: Armada

Wan Ahmad Fayhsal (kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Serongga, Rantau Panjang pada Rabu.
Wan Ahmad Fayhsal (kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Serongga, Rantau Panjang pada Rabu.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan rombakan kabinet yang sedang bertiup kencang ketika ini hanya desas-desus.

Ketua Armada Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, perkara tersebut disahkan oleh Pengerusi parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi sesi penerangan antara kepimpinan tertinggi parti.

"Tidak adil untuk saya komen mengenai perkara itu, kita serahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pucuk pimpinan tertinggi parti lain untuk membuat keputusan," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Serongga, di sini pada Rabu.

Menurutnya, kabinet yang dibentuk melibatkan pelbagai gabungan parti iaitu Bersatu, Pas, Barisan Nasional, GPS dan lain-lain.

Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Fayhsal berkata, pihaknya sudah menggerakkan seramai 500 sukarelawan Armada untuk membantu penduduk yang terjejas banjir di seluruh negara.

Katanya, sukarelawan terbabit akan membantu mangsa banjir yang tidak berdaftar secara rasmi di pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mendapat bantuan wang ihsan yang disediakan oleh kerajaan.

"Saya diberitahu ramai warga emas yang tidak tahu prosedur untuk mendaftar. Jadi kami sudah gerakan semua jentera Armada di seluruh bahagian untuk membantu," katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!