UMNO gesa kerajaan pertimbang pengeluaran KWSP one-off RM10,000
SHAH ALAM - UMNO menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan permintaan rakyat agar dibenarkan pengeluaran kali terakhir caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara one-off sebanyak RM10,000.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, gesaan tersebut dibuat bagi membantu rakyat yang berdepan dengan kesempitan hidup akibat terkesan dengan musibah banjir serta pandemik Covid-19.
“Ini juga sejajar dengan ketetapan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada 27 Ogos 2021,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, Zahid Hamidi turut berdukacita dengan koordinasi agensi-agensi berkaitan yang sepatutnya aktif digerakkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) seolah-olah tidak bermaya dan amat lemah dalam menghadapi musibah banjir pada kali ini.
“UMNO menghargai segala bantuan untuk mangsa banjir sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri yang boleh mencecah sehingga RM61,000 untuk satu keluarga.
“Diharapkan maklumat mengenai kaedah perlaksanaan dan penyalurannya dapat segera dimaklumkan kepada rakyat dan dikurangkan sebarang karenah birokrasi agar prosesnya dipercepatkan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau menyarankan agar sidang khas Dewan Rakyat mengenai bencana banjir diadakan bagi membolehkan wakil-wakil rakyat mengutarakan pandangan dan seterusnya mencari jalan terbaik bagi menghadapi bencana pada masa depan.
“UMNO ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga 48 mangsa banjir yang disahkan terkorban sejak bencana berkenaan melanda beberapa buah negeri bermula pada pertengahan Disember lalu.
“Dengan angka korban yang begitu tinggi berbanding banjir besar yang pernah melanda negara pada tahun 1971 (30 orang) dan 2014 (21 orang), tentunya memerlukan kerajaan Keluarga Malaysia melaksanakan segera saranan titah Yang di-Pertuan Agong agar dilakukan ‘post-mortem’ bencana banjir,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!