Korea Utara lancar ujian misil balistik 'sambut' 2022

Korea Utara mendakwa mereka berjaya melancarkan misil balistik yang dilancarkan kapal selam (SLBM) jenis baharu pada Oktober lalu. - Foto Agensi
Korea Utara mendakwa mereka berjaya melancarkan misil balistik yang dilancarkan kapal selam (SLBM) jenis baharu pada Oktober lalu. - Foto Agensi
A
A
A

SEOUL - Pyongyang didakwa melakukan provokasi terbaru dengan melancarkan objek dipercayai misil balistik ke timur laut Semenanjung Korea.

Pelancaran pertama sempena ketibaan 2022 itu dibuat selepas siri ujian utama yang dilakukan pada tahun lalu yang turut mengundang kecaman negara antarabangsa.

Tentera Korea Selatan memaklumkan tindakan provokatif itu berlaku pada jam 8.10 pagi (waktu tempatan) pada Selasa dan dilancarkan dari wilayah Jagang yang bersempadan dengan China.

Majlis Keselamatan Negara di Seoul turut menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan tersebut setelah mengadakan satu mesyuarat tergempar.

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida juga percaya Korea Utara mungkin sekali lagi melakukan ujian pelancaran misil balistik.

"Tindakan Pyongyang yang berterusan melancarkan misil sejak tahun lalu adalah amat dikesali," ujarnya sambil menambah kerajaan sedang menganalisis butiran terperinci tentang jumlah sebenar misil yang mungkin telah dilancarkan.

Hasil penilaian awal dibuat Tokyo menunjukkan tiada laporan kemusnahan melibatkan pesawat atau kapal milik mereka setakat ini.

"Kami masih meneruskan analisis. Jarak pelancaran misil tersebut mungkin kira-kira 500 kilometer dan jatuh di luar Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Jepun jika dalam jangkauan orbit normal," kata jurucakap kerajaan, Hirokazu Matsuno.

Artikel Berkaitan:

Pada minggu lalu, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menegaskan Pyongyang akan terus meningkatkan keupayaan ketenteraan mereka.

Pada 2021, Korea Utara didakwa berjaya melancarkan ujian misil balistik dilancarkan kapal selam (SLBM) jenis baharu, peluru berpandu jenis cruise jarak jauh dan kepala peledak hipersonik walaupun berdepan sekatan antarabangsa. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!