Kazakhstan bergolak: Kabinet dibubar, darurat diisytihar di dua wilayah

Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di Almaty sambil melaungkan slogan antikerajaan. - Foto AFP
Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di Almaty sambil melaungkan slogan antikerajaan. - Foto AFP
A
A
A

ALMATY - Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev pada Rabu membubarkan kabinet dan turut mengisytiharkan darurat di ibu kota Almaty serta wilayah Mangystau setelah insiden rusuhan ganas di seluruh negara semakin meruncing sebagai membantah kenaikan harga bahan api pada tahun baharu.

Perintah berasingan disiarkan laman presiden memaparkan kenyataan yang mengesahkan Kassym-Jomart telah menerima keputusan peletakan jawatan kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri, Askar Mamin.

Susulan perkembangan itu, timbalannya, Alikhan Smailov akan mengambil alih peranan Askar sebagai pemangku perdana menteri sehingga pembentukan kabinet baharu.

Laman tersebut turut mengumumkan perintah darurat di Almaty dan Mangystau akan berkuat kuat pada Rabu sehingga 19 Januari ini.

Selain itu, perintah berkurung pada waktu malam juga akan dilaksanakan di kedua-dua wilayah berkenaan bermula jam 11 malam hingga 7 pagi (waktu tempatan) yang mengenakan sekatan ketat terhadap pergerakan keluar dan masuk penduduk.

Menerusi rakaman video dikongsi di Facebook, Kassym-Jomart menggesa penduduk negara itu yang berpopulasi 19 juta orang supaya kembali bertenang.

“Kerajaan tidak akan dapat digulingkan. Tetapi, kita juga tidak memerlukan konflik seperti ini,” ujarnya.

Pada lewat Selasa, situasi huru-hara dilaporkan di bandar Almaty selepas pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata dan bom tangan untuk menyuraikan rusuhan tersebut yang pada mulanya tercetus di barat negara itu sebagai tanda protes terhadap kenaikan harga gas cecair petroleum (LPG).

Artikel Berkaitan:

Kumpulan penunjuk perasaan itu turut berarak di laluan utama sambil melaungkan slogan antikerajaan menolak pengaruh besar dan kuasa yang kekal dipegang Nursultan Nazarbayev yang merupakan pendahulu dan mentor kepada Kassym-Jomart.

Media tempatan melaporkan sebahagian daripada peserta protes juga bertindak ganas menyerang kenderaan.

Difahamkan, lebih 200 penunjuk perasaan yang bertindak di luar kawalan dan mengganggu ketenteraman sehingga menyebabkan hampir 100 anggota polis cedera telah ditahan di seluruh negara.

Sebagai memenuhi tuntutan peserta protes, Kassym-Jomart dilaporkan melantik Timbalan Ketua Jawatankuasa Keselamatan baharu untuk menggantikan Samat Abish yang merupakan anak saudara kepada Nursultan. Bagi mengekang situasi menjadi lebih buruk, aplikasi mesej seperti Telegram, Signal dan WhatsApp telah disekat di negara Asia Tengah tersebut. - AFP


Info:


> Demonstrasi berskala kecil telah dilancarkan di beberapa bandar sejak Ahad lalu dan bermula di bandar Zhanaozen di Mangystau.

> Protes itu tercetus susulan kenaikan harga LPG di Mangystau yang kaya dengan hidrokarbon, namun keputusan kerajaan untuk menurunkan harga seperti dituntut kumpulan penunjuk perasaan gagal meredakan keadaan.

> Penduduk Mangystau bergantung kepada LPG yang lebih murah sebagai bahan api untuk kenderaan. Sebarang peningkatan harga bakal memberi kesan kepada harga makanan yang telah menyaksikan kenaikan mendadak sejak pandemik Covid-19 bermula.

> Kassym-Jomart mengambil alih tampuk kepimpinan Kazakhstan pada 2019 selepas dilantik Nursultan yang merupakan sekutu rapat kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin.

> Nursultan, 81, yang memerintah negara itu sejak tahun 1989 dikatakan masih memegang kuasa hingga kini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!