Liverpool tutup sementara tempat latihan
LIVERPOOL menutup sementara tempat latihan setelah jumlah disyaki positif Covid-19 meningkat di kelab itu, kata pasukan itu pada Rabu, sehari sebelum perlawanan pertama separuh akhir Piala Liga menentang Arsenal.
Liverpool berkata, kelab mengambil keputusan itu selepas pusingan terbaharu ujian Covid-19, dengan penolong pengurus Pepijn Lijnders antara mereka yang disyaki positif Covid-19.
Lijnders mengambil alih pasukan itu dalam keputusan seri 2-2 Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Chelsea di Stamford Bridge, ketika pengurus Jurgen Klopp mengasingkan diri selepas positif Covid-19.
"Keputusan itu dibuat selepas berunding dengan pihak berkuasa Kesihatan Awam yang berkaitan. Kes baharu itu adalah tambahan kepada yang direkodkan pada pagi Isnin dan Selasa," kata Liverpool dalam satu kenyataan.
Liverpool sebelum itu meminta Liga Bola Sepak Inggeris pada Selasa untuk menjadualkan semula perlawanan Khamis menentang Arsenal kerana peningkatan kes Covid-19 di kelab tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!