Singapura jangka gelombang jangkitan Omicron lebih besar

 Singapura berkemungkinan mengalami gelombang jangkitan yang lebih besar berbanding jangkitan disebabkan varian Delta.
Singapura berkemungkinan mengalami gelombang jangkitan yang lebih besar berbanding jangkitan disebabkan varian Delta.
A
A
A

SINGAPURA - Memandangkan kebolehjangkitan varian Omicron adalah lebih tinggi, Singapura berkemungkinan mengalami gelombang jangkitan yang lebih besar berbanding jangkitan disebabkan varian Delta, menurut pasukan petugas berbilang kementerian (MTF) mengenai Covid-19 republik itu.

“Jadi, kita perlu bersiap sedia untuk hadapi gelombang jangkitan yang lebih besar kerana Omicron berbanding varian Delta,” kata Pengerusi Bersama MTF, Ong Ye Kung pada sidang media maya di sini pada Rabu.

Ye Kung yang juga Menteri Kesihatan republik itu berkata, ketika kemuncak jangkitan pada akhir Oktober dan awal November tahun lalu, Singapura mencatatkan kira-kira 3,000 kes Delta sehari, dan 'Omicron kemungkinan boleh melebihi angka itu beberapa kali ganda'.

“Pada kemuncaknya, jangkitan Delta meningkat dua kali ganda dalam tempoh enam hingga lapan hari. Jangkitan Omicron mungkin berganda dalam dua hingga tiga hari,” katanya.

Bagaimanapun, Ye Kung berkata, terdapat 'berita yang agak baik' iaitu kajian di pelbagai negara seperti Afrika Selatan, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Kanada menunjukkan jangkitan Omicron tidak seteruk jangkitan Delta.

Data itu sangat konsisten, terutamanya dalam kalangan mereka yang sudah divaksin dan menerima suntikan penggalak, katanya.

“Kami turut mengesan kes sedemikian di peringkat tempatan. Setakat ini kami mengumpul 2,252 kes Omicron. Daripada jumlah itu, tiga pesakit memerlukan bantuan oksigen, dan bantuan oksigen mereka dihentikan dalam masa tiga hari.

“Jadi, ketiga-tiganya kini semakin pulih. Tiada kes yang memerlukan penjagaan ICU (unit rawatan rapi) setakat ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jika 2,252 jangkitan yang sama ini disebabkan oleh Delta, 'berdasarkan pengalaman sebelum ini, kami menjangkakan kira-kira 30 individu memerlukan bantuan oksigen, ICU, atau meninggal dunia'.

Menteri itu mengulangi bahawa vaksin, terutamanya penggalak, mengekalkan perlindungan daripada gejala penyakit yang lebih teruk dan kemasukan ke hospital akibat jangkitan Omicron.

Sungguhpun terdapat bukti menunjukkan Omicron lebih mudah menjangkiti dan kurang teruk, Singapura sedang melihat semula protokol penjagaan kesihatannya mulai 6 Januari 2022.

Ia akan mempertingkat lagi penggunaan Protokol 1-2-3 untuk memudahkan pengurusan kes Covid-19 yang diperkemas, antara lain, untuk mengurus individu berdasarkan tahap simptom yang dialami dan status kesihatan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!