'Masih ada longgokan tong misteri'

Dari kiri: Abdul Majid, Abdul Rashid dan Zainulzabha menunjukkan keadaan tong dari luar sebuah stor simpanan di Kampung Parit Pak Intan.
Dari kiri: Abdul Majid, Abdul Rashid dan Zainulzabha menunjukkan keadaan tong dari luar sebuah stor simpanan di Kampung Parit Pak Intan.
A
A
A

PONTIAN - Longgokan tong misteri di tepi jalan Kampung Parit Pak Intan dekat Pekan Parit Sikom di sini, kembali mencuri tumpuan selepas setahun tular dan dilaporkan akhbar tempatan.

Penularan berita tong misteri itu, dikaitkan kebimbangan orang ramai dalam tempoh pencemaran bahan toksik di Pasir Gudang.

Sinar Harian semalam, melakukan tinjauan bersama penduduk kampung dan wakil Adun Pulai Sebatang ke lokasi stor penyimpanan tersebut.

Hasil tinjauan mendapati, masih terdapat tong-tong putih dilonggok di dalam kawasan stor yang jelas kelihatan dari luar.

Imam Masjid Kampung Parit Pak Intan, Abdul Majid Sapak berkata, dia tidak terkejut dengan penularan longgokan tong misteri di media sosial itu.

Katanya ini kerana, masalah itu belum diselesaikan meskipun mendakwa lawatan agensi terlibat seperti Jabatan Alam Sekitar sudah pun dilakukan.

“Penduduk diberitahu tong itu mengandungi baja. Bahan baja, kami tidak tahu mungkin bahaya untuk kesihatan. Tetapi tengok pokok-pokok di sekeliling layu,” katanya.

Beliau berharap agar penularan berita tong misteri itu akan membuka mata pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lebih tegas kepada pemilik stor.

Artikel Berkaitan:

“Penduduk mahu stor berkenaan dipindahkan ke lokasi lain. Tidak sesuai dibuka di kawasan kampung lebih-lebih dekat dengan kebun dan ladang yang jadi tempat penduduk mencari rezeki,” katanya.

Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Abdul Rashid Taib, 45, berharap ia diselesaikan dengan stor terbabit diarah berpindah.

Katanya, langkah itu penting bagi menjamin kehidupan harmoni dan selamat tanpa bimbang dengan ancaman bahan kimia mahupun toksik berbahaya.

Sementara itu, Pegawai Khas Kepada ADUN Pulai Sebatang, Zainuzabha Bahrom berkata, isu berkenaan menjadi perkara utama yang dibawa setiap kali mesyuarat tindakan daerah.

“Saya difahamkan Jabatan Alam Sekitar sudah pun memberikan notis supaya stor itu dikosongkan.

“Kita juga mendesak agar tindakan segera diambil kerana kawasan tersebut dirasakan tidak sesuai sebagai lokasi stor penyimpanan kerana terletak dalam kawasan kampung,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!