O’Donell bukan ahli silap mata
TEKA-TEKI siapa bakal mengisi jawatan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya terjawab dengan pelantikan jurulatih kelahiran Australia, Scott O’Donell.
O’Donell dianggap sebagai individu paling tepat untuk memegang jawatan terbabit berdasarkan kelayakan yang dimilikinya selain memahami 'resam' bola sepak di Asia Tenggara.
Malah, resume O’Donell dalam bidang kejurulatihan selain bertindak sebagai Tenaga Pengajar Jurulatih Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memberi keyakinan kepada FAM untuk melamarnya.
Bagi Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan, pelantikan itu merupakan tindakan tepat yang dibuat FAM dalam usaha mengangkat maruah bola sepak negara.
Malah, Sathianathan optimis O’Donell mampu menggalas tugasnya dengan baik terutamanya dalam membetulkan semula landasan peta hala tuju F:30 yang dilihat sedikit tersasar ketika ini.
“Saya rasa O’Donell cukup mengenali budaya bola sepak Asia Tenggara dan Malaysia memandangkan beliau juga sebelum ini pernah bermain di Malaysia dan mengendalikan pasukan Kemboja.
“Jadi tidak akan ada masalah buat dirinya untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak Malaysia. Saya yakin pengalaman yang dimiliki beliau mampu membantu FAM memperbaiki semula peta hala tuju F:30.
“Cuma peminat dan penyokong bola sepak Malaysia tidak boleh terlalu mengharapkan keajaiban dalam sekelip mata. Beliau bukan ahli silap mata,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Terdahulu, O’Donell yang juga bekas pemain import Kuala Lumpur diperkenalkan secara rasmi sebagai Pengarah Teknikal FAM yang baharu bagi menggantikan tempat Datuk Ong Kim Swee.
Kerusi Pengarah Teknikal FAM kosong beberapa bulan selepas Kim Swee yang juga bekas pengendali Harimau Malaya membuat keputusan melepaskan jawatannya pada 10 September lalu.
Dalam pada itu, pandangan berbeza dilontarkan jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah mengenai pelantikan O’Donell yang juga bekas pemain import Kuala Lumpur.
Tanpa mahu menjatuhkan 'hukuman' lebih awal, Mohd Azraai hanya berharap semua pihak dapat membantu O’Donell menyesuaikan diri dengan budaya bola sepak tempatan.
“Nak kata dia hebat atau tidak, itu saya tidak tahu sebab dia baru menjawat jawatan tersebut. Apa yang penting ketika ini dia perlu memahami budaya dan tahu sedikit sebanyak mengenai bola sepak Malaysia.
“Sebab sebelum ini ramai Pengarah Teknikal FAM yang dilantik tapi tak tahu apa-apa mengenai bola sepak Malaysia. Akhirnya yang rugi kita sendiri dan pasukan negara.
“Kalau mengharap dia seorang, saya rasa perkara sama akan berulang. Sebab apa yang dia nak buat tidak boleh dan akhirnya dia meletakkan jawatan,” ujarnya yang pernah membimbing skuad Harimau Muda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!