Malaysia negara tua, simpanan hari tua
MALAYSIA dijangka mencapai status ‘negara tua’ atau aged nation menjelang 2030 apabila dijangka 15.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara adalah berusia 60 tahun dan ke atas, berdasarkan unjuran data Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ia bermakna populasi warga emas ketika itu akan menjangkau 5.8 juta orang daripada keseluruhan 38.1 juta jumlah penduduk negara. Jadi, adalah penting bagi warga emas kekal aktif dan produktif seiring dengan peningkatan usia mereka.
Untuk kekal aktif, kita perlu mempunyai simpanan yang cukup untuk hari tua kerana pada usia emas lebih banyak perbelanjaan diperlukan.
Perkara utama pada waktu usia emas, kita perlu mengekalkan kesihatan dan yang ini memerlukan bayaran, jika kita masih memerlukan rawatan berkala sama ada daripada pusat rawatan kerajaan ataupun swasta.
Bagi sesetengah rawatan susulan yang kritikal, untuk mendapatkan rawatan segera kita mungkin perlu ke pusat perubatan swasta kerana di hospital kerajaan kita perlu menunggu giliran.
Di sinilah peranan dana simpanan hari tua ini, sedikit sebanyak ia akan membantu kita mendapatkan rawatan lebih cepat dengan bayaran tertentu sementara mendapat rawatan di hospital kerajaan.
Itu antara perkara utama dari aspek kesihatan yang menuntut kita berfikir apabila sampai hari tua nanti dan selari jangkaan Malaysia akan menjadi negara tua menjelang 2030.
Malah pada usia tua menjelang 60-an memasuki era pencen, mungkin banyak komitmen yang perlu dilangsaikan.
Antaranya hutang rumah, jika masih berhutang. Begitulah juga, jika masih mempunyai kenderaan yang perlu diserviskan pada waktunya.
Ini tidak termasuk kewangan besar yang diperlukan pada waktu kecemasan seperti banjir, virus Covid-19, kenaikan harga barang, kematian mengejut dan sebagainya.
Walaupun rezeki di tangan ALLAH, namun beberapa pendekatan perlu dilakukan sewajar agar kita tidak membebankan anak-anak kita.
Banyak perkara yang boleh dipertikaikan daripada situasi di atas namun anggaplah ini salah satu cetusan idea berdasarkan waktu dan ruang yang terhad ini. Sama-sama kita fikirkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!