Rindu kelibat feri lama
BARU-BARU ini Merak Jalanan berkesempatan ke Pulau Pinang dan amat teruja kerana pertama kali menaiki bot laju sepertimana bot laju di Pulau Langkawi.
Perjalanan yang hanya mengambil masa kurang 15 minit ternyata amat selesa kerana kerusi empuk dan berhawa dingin.
Namun di sebalik keselesaan itu, berdetik di hati penulis mengingatkan kisah lama menaiki ikonik feri yang pernah dijadikan pengangkutan utama penulis ketika menuntut pengajian di pulau berkenaan sekitar tahun 1988.
Ini kerana reka bentuk feri lebih terbuka membolehkan penumpang menghirup udara segar ketika berada di tengah-tengah laut menyeberang sama ada ke Pulau Pinang atau ke Butterworth.
Semasa di atas feri, penumpang boleh keluar daripada kenderaan untuk bergambar di pintu masuk hadapan feri berkenaan bersama rakan atau ahli keluarga. Jika ada kesempatan penumpang dek bawah boleh naik ke bahagian atas bersama penumpang lain untuk menikmati makanan ringan.
Bunyi deruman enjin serta hon feri yang kuat serta bau minyak diesel sesuatu yang tidak dapat dilupakan oleh penulis.
Bagaimana pun peredaran masa berubah segala-galanya dan generasi baru tidak akan merasai pengalaman yang dilalui penulis sebelum ini.
Menurut laporan perkhidmatan feri lama hanya digunakan untuk pejalan kaki dan kenderaan dua roda motosikal dan basikal.
Merak Jalanan berasa lega kerana SPPP akan menempatkan dua buah feri sedia ada yang diubah suai sebagai restoran terapung dan muzium terapung di Tanjung City Marina sebagai usaha mengekalkan sejarah pengangkutan yang berusia lebih 100 tahun itu.
Dengan adanya dua feri berkenaan, ia diharap dapat mengubat rindu, ini kerana pulau mutiara amat terkenal atau sinonim dengan pengangkutan feri sejak dahulu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!