Ambil tahu kes penipuan dalam talian

Bermacam-macam kes penipuan dalam talian yang bertimbun dilaporkan, antaranya Macau Scam, penipuan pinjaman, pelaburan, Love Scam dan seumpamanya.
Bermacam-macam kes penipuan dalam talian yang bertimbun dilaporkan, antaranya Macau Scam, penipuan pinjaman, pelaburan, Love Scam dan seumpamanya.
A
A
A

BOLEH dikatakan setiap hari ada sahaja laporan berita tidak kira daripada agensi media mana sekalipun melaporkan isu mengenai penipuan dalam talian.

Bermacam-macam kes penipuan dalam talian yang bertimbun dilaporkan, antaranya Macau Scam, penipuan pinjaman, pelaburan, Love Scam dan seumpamanya.

Walaupun kerap kes seumpama itu dilaporkan di media massa dan media sosial, malah pelbagai medium lain, agak pelik kes-kes berkenaan masih berlaku. Adakah perkara itu terjadi disebabkan masyarakat kita mudah ditipu?

Lebih hairan, adakah orang kita sendiri tidak ambil peduli laporan-laporan berita yang dilaporkan? Sebenarnya, hal itu amat perlu ditekankan.

Kes jenayah penipuan dalam talian haruslah difahami, apa modus operandinya, apakah sasarannya dan bagaimana jenayah itu masih boleh berlaku.

Jika diteliti, mangsa kes jenayah berkenaan bukan calang-calang orang. Ada doktor, jururawat, guru, kakitangan kerajaan dan swasta.

Setiap orang ada telefon bimbit sendiri dan mungkin ada dua atau tiga. Sudah tentu setiap hari skrol Facebook atau medium online lain, adakah tidak sempat untuk mendapat input dan ambil tahu berkenaan kes jenayah sebegini? Didiklah diri.

Bukan kita hendak menyalahkan mangsa ini secara keseluruhan. Tapi, zaman ini yang moden dan canggih, penipuan sudah bergerak tanpa bersemuka.

Artikel Berkaitan:

Jika zaman dulu, hendak tipu orang, kita perlu jumpa orang itu. Tapi bukan zaman ini. Hanya melalui panggilan sahaja mangsa buta-buta boleh serahkan ribuan ringgit, malah ada yang cecah hingga jutaan ringgit.

Bayangkan, wang simpanan lesap begitu sahaja. Masa ini air mata darah sekali pun pun tidak dapat minta pulangkan wang itu semula.

Kita harus ucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sentiasa berusaha mendidik dan mengingatkan masyarakat menerusi bermacam kempen dan ceramah.

Buktinya, kempen besar-besaran telah dilancarkan PDRM menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) pada November tahun lalu oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang menjadi manifestasi usaha berterusan PDRM dalam menyebar luas ilmu pengetahuan kepada masyarakat bagi mengelakkan diri daripada menjadi penyumbang kepada peningkatan statistik mangsa penipuan.

Kempen

Ketika tempoh pelancaran kempen itu, Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) JSJK Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Nor Azman Muhammad Yusuf dilaporkan berkata, kempen itu wajar diteruskan sebagai satu langkah pencegahan seiring langkah pembanterasan dan penguatkuasaan PDRM.Kata Nor Azman, walaupun sering dilakukan pendedahan, namun kes membabitkan penipuan dalam talian masih meningkat dan ini menunjukkan kadar kesedaran masyarakat berhubung jenayah sedemikian masih belum menyeluruh.

Justeru, adalah amat relevan masyarakat hari ini tidak kira murid sekolah, penuntut universiti, warga emas atau sesiapa sekali pun untuk lebih peka dengan kes penipuan dalam talian.

Oleh itu, sebagai perkongsian info, sekiranya menerima panggilan yang mencurigakan yang meminta untuk memindahkan wang dan seumpamanya, silalah buat semakan pengesahan melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau memuat turun aplikasi SEMAK MULE CCID.

Atau, boleh hubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559/ 03-26101599 atau WhatsApp ke CCID Infoline di talian 013-211 1222.

Dengan hanya satu panggilan atau mesej WhatsApp boleh menyelamatkan puluhan ribu wang anda!

* Mohd Afham Ramli ialah Ketua Meja Jenayah dan Mahkamah Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!