Pemuda Pas harap pertemuan kukuhkan penyatuan

Mohd Kamal
Mohd Kamal
A
A
A

KOTA BHARU - Pemuda Pas Kelantan berharap hubungan parti itu dengan UMNO Kelantan dalam Muafakat Nasional (MN) diperkukuhkan selari dengan hasrat penyokong akar umbi kedua-dua parti.

Ketuanya, Mohd Kamal Mohamad berkata, persetujuan untuk mengadakan pertemuan pada 22 Januari ini juga membuktikan keseragaman dalam penyatuan ummah antara kedua-dua pihak.

"Kami berharap semuanya berjalan dengan baik dan kembali memperkukuhkan MN memandangkan setiap sayap kedua-dua parti ini memainkan peranan penting sebagai pendokong dan ejen pengukuh MN, bukan sebagai pemanas suasana.

"Selagi kita berpegang kepada Islam sebagai asas penyatuan, kami yakin MN akan terus subur dan dibimbing oleh ALLAH SWT," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai hasrat UMNO negeri dan Pas Kelantan yang dijangka mengadakan pertemuan pada 22 Januari ini bagi membincangkan dengan lebih lanjut kerjasama antara kedua-dua pihak terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub pada awalnya menghantar surat rasmi kepada Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengenai hasrat untuk mengadakan pertemuan tersebut.

Ahmad juga telah membalas surat berkenaan dengan menetapkan tarikh 22 Januari sebagai tarikh untuk pertemuan berkenaan diadakan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai hubungan Pemuda Pas Kelantan dan Pemuda UMNO Kelantan, Kamal berkata, ia berjalan dengan baik dan banyak program telah diaturkan bersama.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, ia masih dimaklumkan secara rasmi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!