Kante, Silva positif Covid-19
PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel mengesahkan pemain tengah N'golo Kante dan tonggak pertahanan Thiago Silva dijangkiti wabak Covid-19.
Kedua-dua pemain itu disisihkan daripada kesebelasan utama pasukan ketika separuh akhir pertama piala liga menentang Tottenham pada Rabu dan kini akan menjalani tempoh kuarantin.
"Thiago dan N'golo (Kante) tidak dapat bersama kami kerana kedua-dua mereka disahkan positif Covid-19.
"Ia satu tamparan hebat buat kami kerana ia berlaku pada saat-saat akhir dan sangat mencabar buat kami.
"Bagaimanapun kami masih mempunyai beberapa pemain yang boleh dipercayai dan berjaya menyelesaikan masalah tersebut," katanya.
Untuk rekod, ini merupakan kali kedua dalam tempoh tiga bulan Kante dijangkiti virus Covid-19.
Pemenang Piala Dunia 2018 itu diturunkan sebanyak 17 kali daripada 31 aksi Chelsea musim ini manakala Silva pula digunakan dalam 22 perlawanan.
Dalam pada itu, Tuchel berkata, pihaknya kini sedang mencari solusi terbaik bagi menangani penularan Covid-19 dalam pasukan.
Dia tidak mahu situasi yang berlaku kepada kem Chelsea berulang semula hingga merencatkan prestasi pasukan.
"Kami perlu segera cari satu solusi atasi masalah ini.
"Walaupun terdapat beberapa kes ketika ini, saya masih percaya dengan pemain saya dan berharap mereka akan beraksi dengan baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!