Anak hafiz al-Quran bukan penghapus dosa ibu bapa
BIARPUN jadual pelajar tahfiz di sekolah agak ketat dengan rutin harian masing-masing, namun kehidupan mereka sebenarnya masih lagi sama seperti orang lain.
Pendakwah, Ustaz Mohd Fakhrurrazi Hussin atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Fakhrul berkata, tanggungjawab mereka lebih besar lagi kerana perlu menjaga dan memelihara al-Quran.
"Mereka tidak boleh buat apa yang tidak dibolehkan oleh syariat dan orang yang hafal al-Quran ini perlu lebih warak serta menjauhi perkara-perkara syubhah (halal dan haramnya tidak jelas)," katanya kepada Sinar Islam.
Melihat kembali konsep al-Quran, beliau yang juga Musyrif Akademi Al-Quran Amalillah Cawangan Shah Alam berkata, kalam ALLAH itu juga mengajar kita untuk mengejar duniawi, selain ukhrawi (akhirat).
Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan ALLAH kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba ALLAH) sebagaimana ALLAH berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (Surah al-Qasas: 77).
Berdasarkan ayat itu, Imam Muda Fakhrul berkata, konsep yang ditekankan ALLAH SWT adalah melebihkan akhirat, namun dunia juga jangan dilupakan.
"Apa sahaja yang kita buat di dunia ini adalah untuk mendapat bahagian di akhirat," ujarnya.
Kepada satu soalan, beliau menjawab: "Ada sesetengah orang menganggap anak sebagai penghapus dosa ibu bapa. Sebab dulu ibu bapa tiada pendidikan tahfiz, jadi mereka bawa anak mengaji al-Quran sebagai penghapus dosa. Sebenarnya, menghantar anak ke sekolah tahfiz ini bukan sebagai penghapus dosa ibu bapa tetapi untuk kita membina generasi yang lebih baik." jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi pendakwah, Ustazah Shadiya Abbas menjelaskan, apabila seseorang itu memilih untuk menjadi hafiz al-Quran, dia sebenarnya telah memilih untuk menguasai dunia dan akhirat.
Bagaimana untuk mewujudkan 1 rumah, 1 hafiz al-Quran? Berkongsi beberapa tip penting, Shadiya menjelaskan, ia bermula daripada niat ibu bapa sejak anak mereka masih dalam kandungan lagi dan kerap berdoa supaya kita bersama anak-anak menjadi 'Hamlatul Quran' iaitu pemelihara al-Quran.
Selain itu, ujar beliau, pasangan suami isteri perlu bekerjasama dengan menjadikan al-Quran sebagai rutin harian untuk dibaca bersama anak-anak.
"Bukan itu sahaja, kita perlu juga sentiasa memperbaiki bacaan dan berusaha menghafaz surah-surah pendek dari juzuk 30.
"Kita juga perlukan sokongan harta benda. Dr Aidh al-Qarni berkata, ibu ayah yang menghabiskan hartanya untuk anak-anak mendapat pendidikan al-Quran tidak akan rugi kerana di dalam al-Quran memiliki segenap lautan ilmu," jelasnya.
Bagi menjadikan al-Quran sebagai suatu keseronokan, beliau menitipkan pesanan supaya ibu bapa boleh mengadakan permainan berbentuk silang kata surah dalam kalam ALLAH itu dan kuiz kisah al-Quran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!