Prestasi Spurs jauh ketinggalan berbanding Chelsea
PENGENDALI Tottenham Hotspur, Antonio Conte mengakui kekalahan 2-0 kepada Chelsea pada perlawanan pertama separuh akhir Piala Liga menunjukkan prestasi pasukannya kini masih jauh ketinggalan berbanding seteru utama London itu.
Justeru kata pengendali kelahiran Itali itu, masih banyak kerja perlu dilakukan olehnya bagi meningkatkan lagi prestasi skuad Lilywhites.
"Banyak kerja yang perlu dilakukan pada masa ini kerana ketika ini amat sukar untuk mengenali bahagian mana yang perlu diperbaiki kerana banyak perkara yang sememangnya perlu dilihat.
"Kami memerlukan masa dan semua pihak yang terlibat perlu bersabar kerana Tottenham sejak tahun lalu sudah mengalami penurunan prestasi. Kini kami harus kembali bersaing dan memenangi setiap perlawanan," katanya.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge, Spurs terpaksa akur kalah 0-2 di kepada Chelsea hasil jaringan Kai Havertz dan gol sendiri Ben Davies.
Dalam pada itu, Conte berkata dirinya akan mengadakan perbincangan dengan pengerusi Daniel Levy mengenai sasaran untuk mendapatkan pemain baru.
Jelasnya, ia agak mustahil untuk mengubah prestasi Spurs ketika ini sekiranya dia hanya memperoleh satu atau dua pemain baru.
"Kami perlu merendah diri, memahami situasi pada masa ini dan terus berusaha untuk meningkatkan pemain kami," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!