'Azam perlu letak jawatan atau bercuti semasa siasatan dijalankan'
SHAH ALAM - Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jawatankuasa Khas Parlimen diberikan laluan untuk melakukan siasatan secara menyeluruh serta telus terhadap kes melibatkan SPRM termasuk Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.
Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya turut berpandangan, Azam perlu meletakkan jawatan atau paling kurang bercuti sepanjang siasatan dijalankan terhadapnya.
"Azam tidak perlu bimbang terhadap siasatan oleh pihak berkuasa, malah perlu berani dan ‘gentleman’ untuk tampil ke hadapan jika beliau berada di pihak yang benar.
“Pembela merujuk kepada perkembangan terkini melibatkan skandal integriti yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM. Justeru, Pembela tidak akan berkompromi dengan segala masalah integriti terutama melibatkan badan penguat kuasa seperti SPRM,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Dalam pada itu, Aminuddin menyifatkan, kes tersebut sangat serius kerana ia akan membuatkan rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap SPRM.
“Defisit kepercayaan terhadap SPRM bukan baru berlaku, tetapi hasil dari pelbagai siri-siri skandal dalaman suruhanjaya tersebut,” katanya.
Sebelum ini, Azam didakwa memiliki lebih RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai sewaktu menjadi Pengarah Siasatan SPRM antara tahun 2015 dan 2016.
Bagaimanapun, ia akhirnya terjawab pada Rabu apabila Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang memaklumkan, bahawa pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam iaitu Nasir Baki.
Justeru, beliau menjelaskan, tiada sebarang perlakuan jenayah atau ‘conflict of interest’ (konflik kepentingan) dalam perkara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!